Foto FB Johorkini

JOHOR BAHRU – Penduduk sekitar di Jalan Bukit Kempas 1/4, Taman Bukit Kempas gempar apabila mendengar bunyi dentuman kuat di luar rumah awal pagi semalam yang disangka bunyi ribut petir dan guruh, namun apabila disiasat ia sebaliknya adalah bunyi kuat gegaran tanah runtuh.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada kebocoran paip air tangki milik Ranhill SAJ Sdn Bhd, dan rata-rata penduduk kawasan berkenaan yang ditemui hari ini nyata terperanjat besar melihat sebahagian bukit di kawasan itu sudah ranap, dan persekitaran dipenuhi dengan lumpur.

Ayub Kassim, 68 berkata kejadian berkenaan berlaku sebelum waktu subuh, dan beliau yang hanya menyedari keadaan itu benar-benar serius apabila dimaklumkan oleh isterinya.

“Bunyi kuat, ingatkan hujan lebat tetapi rupanya tangki air pecah… orang rumah kejutkan saya beritahu tanah runtuh, dan saya terus bangun ambil kunci untuk mengalihkan kereta,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Ayub berkata selepas melihat keadaan itu, beliau terus memberitahu jiran-jirannya supaya turut sama mengalihkan kereta masing-masing supaya tidak dirosakkan lumpur.

Senada dengan Ayub, Rohaizad Baharum, 64, berkata kebanyakkan penduduk tidak menyedari ia merupakan kejadian tanah runtuh kerana berlaku di awal pagi.

“Ada bunyi dentuman sebanyak tiga kali dan waktu itu saya bersiap nak pergi ke surau. Bukit tebing ni pecah dan air semua mengalir di habis ke kawasan jalan ini,” katanya.

Semalam, 42 penduduk yang mendiami 12 rumah di Jalan Bukit Kempas 1/4, Taman Bukit Kempas di sini, diarah mengosongkan kediaman mereka hari ini selepas berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan mereka.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin TPgB I Suhaimi Jamal dalam kenyataan berkata  kejadian berkenaan dipercayai berlaku akibat kebocoran paip air tangki milik Ranhill SAJ Sdn Bhd, dilaporkan kepada pihaknya pada 6.37 pagi.

Runtuhan hanya berjarak kira-kira 10 meter daripada kawasan kediaman penduduk dan kerja-kerja pembersihan dilakukan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Ranhill SAJ.

— BERNAMA