Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud menunjukkan Kad Pendaftaran Personel Binaan CIDB yang dipalsukan pada sidang media berkenaan sindiket pemalsuan dokumen di Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2021.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen imigresen didalangi dua warga Bangladesh menerusi satu operasi khas yang dijalankan di sebuah pangsapuri di Cheras, Selangor semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek menggunakan modus operandi dengan menyewa dua buah pangsapuri berdekatan bagi tujuan mengelirukan agensi penguatkuasaan.

Menurut beliau, sebuah unit pangsapuri dijadikan sebagai kediaman manakala sebuah unit lagi digunakan untuk memproses dokumen palsu.

“Suspek berusia 32 tahun itu dipercayai aktif memalsukan dokumen sejak Mac tahun lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa dengan mengiklankan perkhidmatan menerusi aplikasi WhatsApp dan orang tengah yang mengutip bayaran daripada pelanggan warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

“Bagi penghantaran dokumen yang telah siap, suspek akan bertindak menyembunyikan pasport tersebut di ‘drop of point’ tertentu dan mengambil gambar lokasi sebelum dihantar kepada pelanggan yang akan mengambilnya,” kata beliau menerusi sidang media di Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa di sini hari ini.

Tambah Khairul Dzaimee, bayaran sebanyak RM300 akan dikenakan kepada pelanggan bagi mendapatkan sekeping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu manakala RM150 bagi pasport palsu pelbagai negara dan masing-masing RM20 bagi sekeping iKad dan Kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Antara barang rampasan pada sidang media berkenaan sindiket pemalsuan dokumen di Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2021.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan pegawai Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa di lokasi turut membawa kepada penangkapan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah untuk mengutip bayaran.

“Suspek utama juga dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan bekerja terlebih dahulu sebelum mula bergiat aktif menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen.

“Sindiket tersebut juga dianggarkan mendapat kira-kira 150 pelanggan dalam masa sehari,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JIM turut merampas sejumlah RM8,300 wang tunai, 62 keping pasport Bangladesh, sekeping pasport Myanmar dan Indonesia, lima ikat kulit pasport pelbagai negara, lapan keping pelekat palsu Malpass tidak bercetak, kad CIDB palsu, sebuah komputer dan mesin pencetak pelekat serta mesin ‘laminate’.

Kata Khairul Dzaimee, suspek kemudian dibawa ke JIM Putrajaya untuk ujian calitan Covid-19 sebelum dihantar ke depot tahanan.

Katanya, suspek utama disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan di bawah Seksyen 55D kerana memalsukan dokumen kerajaan. – Malaysia Gazette