KUALA LUMPUR – Nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit merekodkan pertumbuhan -1.2 peratus tahun ke tahun pada bulan November tahun lalu kepada RM110.4 bilion.

Pertumbuhan negatif ini adalah disebabkan oleh Perdagangan Runcit yang menguncup 2.3 peratus atau RM1.1 bilion kepada RM44.8 bilion berbanding November 2019.

Perdagangan Borong turut susut sebanyak RM0.4 bilion atau -0.7 peratus untuk mencatatkan RM52.8 bilion, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Walau bagaimanapun, Kenderaan Bermotor masih mengekalkan pertumbuhan positif dengan kenaikan RM0.1 bilion atau 1.2 peratus untuk mencapai RM12.8 bilion.

Sementara itu, nilai jualan bulan ke bulan turun -0.1 peratus pada November 2020 berbanding Oktober sebahagiannya
disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang telah diperluas ke negeri-negeri lain selain Lembah Klang dan Sabah untuk mengekang penularan Covid-19.

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata, pertumbuhan Perdagangan Runcit negatif 2.3 peratus
disebabkan oleh jualan produk bukan keperluan iaitu Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan dengan -6.2 peratus, Jualan Runcit Barangan Isi Rumah -4.4 peratus, Jualan Runcit Barangan Kesenian & Rekreasi -5.1 peratus dan Jualan Runcit Kelengkapan Informasi & Komunikasi -1.3 peratus.

Bagaimanapun, jualan barangan keperluan menunjukkan peningkatan iaitu Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang mencatatkan 2.3 peratus kepada RM16.1 bilion tahun ke tahun, diikuti oleh Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau yang meningkat 6.3 peratus kepada RM2.8 bilion.

Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar turut berkembang 10.9 peratus kepada RM0.4 bilion diikuti oleh Jualan Runcit di Gerai & Pasar yang naik 7.2 peratus kepada RM0.1 bilion.

Bagi Perdagangan Borong, kejatuhan 0.7 peratus tahun ke tahun pada November 2020 disebabkan oleh Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong dan Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran yang merosot masing-masing -6.8 peratus dan -6.6 peratus.

Walau bagaimanapun, Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau meningkat 4.7 peratus kepada RM10.2 bilion. Ini diikuti oleh Jualan Borong Barangan Isi Rumah yang naik 3.6 peratus kepada RM10.8 bilion. Jualan Borong Jentera, Peralatan & Bekalan juga berkembang 2.9 peratus tahun ke tahun untuk menjana jualan sebanyak RM4.6 bilion, jelas beliau.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir menambah, subsektor Kenderaan Bermotor, Jualan Kenderaan Bermotor memacu pertumbuhan dengan 7.1 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM7.3 bilion, diikuti oleh Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal yang mencatatkan nilai jualan RM1.1 bilion, meningkat 6.3 peratus. – MalaysiaGazette