Tengku Zafrul Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia dan para pelabur bahawa pentadbiran negara
sentiasa disokong oleh sistem kewangan yang teratur, termasuk pasaran kewangan dan pasaran modal.
Pasaran modal Malaysia akan terus beroperasi bagi menyokong dan memudahcara proses pengumpulan dana perdagangan dan pelaburan, dengan semua fungsi pengawalseliaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKP/PKPB/PKPP dan Ordinan
Darurat.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kesinambungan operasi pasaran modal ini penting untuk menyokong ketahanan dan pemulihan ekonomi Malaysia, serta membantu pelabur menguruskan peluang dan risiko pelaburan
dalam tempoh tersebut.
Menurutnya, Malaysia mempunyai ekosistem pasaran modal yang berdaya tahan, yang disokong oleh kecairan yang tinggi.
”Mekanisma pengurusan pasaran tersedia untuk mengawal turun-naik. Dana pelepasan, serta susun atur margin dan simpanan juga sedia ada untuk memastikan risiko penyelesaian dan pelepasan sentiasa terurus.
”Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bersama Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa demi pengurusan risiko secara proaktif di pasaran, dan akan melaksanakan langkah pencegahan tambahan, berdasarkan kesesuaian.
”Dari segi intermediasi kewangan dan sistem pembayaran, operasi institusi kewangan dan pasaran kewangan akan diteruskan seperti biasa, dengan perkhidmatan yang terus tersedia dan boleh diakses oleh peminjam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tengku Zafrul menambah, Bank Negara Malaysia pula memantau keadaan pasaran kewangan bagi memastikan mudah tunai dalam pertukaran asing, pasaran bon dan pasaran wang (termasuk repo) mencukupi, serta keadaan pasaran kekal teratur.
Penampan sistem perbankan Malaysia dan amalan pengurusan risiko yang mantap dijangka mampu mengurangkan kesan sebarang potensi penurunan kualiti kredit dan terus menyokong pemberian pinjaman oleh bank kepada ekonomiĀ  semasa tempoh Ordinan Darurat dan pelaksanaan pelbagai pelaksanaan PKP ini.
Tambah beliau, memandang ke hadapan, kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan Malaysia kekal di atas landasan pemulihan pada tahun ini.
”Yang lebih penting, kita mempunyai kecairan domestik yang mencukupi bagi rangsangan fiskal tambahan untuk menyokong kehidupan, mata pencarian dan perniagaan, jika perlu,” ujarnya.
Kementerian Kewangan juga, tambah beliau telah mula mempertimbangkan pelbagai langkah untuk mendokong rakyat dan perniagaan selama tempoh ini.
Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kelangsungan hidup rakyat serta perniagaan.
Ini kerana, asas ekonomi Malaysia yang mantap akan terus membolehkan kerajaan bertindak secara berkesan terhadap persekitaran yang penuh cabaran, serta terus mempertahankan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi.
“Kerajaan tetap komited untuk membina momentum pemulihan semasa dan memastikan kelestarian jangka panjang bagi
kedudukan kewangan awam dan ekonomi negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette