Zaquan Adha Abdul Razak.

KUALA LUMPUR – Bekas penyerang skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak kembali memperkuatkan jentera serangan kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Perkembangan itu disahkan melalui laman sosial rasmi NSFC dan bekas pemain Kedah itu turut dilantik sebagai ketua pasukan.

Dia menyifatkan kepercayaan yang diberikan sebagai ketua pasukan adalah tanggungjawab yang berat, tetapi tidak akan disia-siakannya.

“Saya harap dapat memberi impak positif kepada pasukan dan untuk kembalikan kegemilangan Negeri Sembilan, ia bukan satu perkara yang mudah. Saya berharap mendapat bantuan rakan-rakan yang lain untuk kita bersama-sama kembalikan kegemilangan itu,” katanya.
Zaquan memulakan karier bola sepak profesional bersama Negeri Sembilan di mana dia bermula bersama skuad Sukma negeri tersebut.

Kembar kepada Aidil Zafuan itu memenangi pingat emas Sukma 2004 dan seterusnya membantu skuad Hobin Jang Hobin memenangi trofi Liga Super pada musim 2005/2006.

Zaquan terus memainkan peranan besar dalam zaman kegemilangan Negeri Sembilan dimana selain memenangi Liga Super, beliau membantu pasukan itu memenangi Piala Malaysia pada 2009 dan 2011 serta Piala FA pada 2010.

Kecemerlangan Zaquan bersama Negeri Sembilan turut membantu beliau memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik bagi musim 2006/2007 selain memenangi saingan Pesta Bola Merdeka pada 2007 dan pingat emas Sukan SEA 2009.

Bagi menghadapi musim 2021, Negeri Sembilan bakal dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman iaitu K.Devan yang juga kembali mengendalikan pasukan sebanyak dua kali sebelum ini dan tekad bawa pasukan itu kembali ke Liga Super 2022. – MalaysiaGazette