Bekas anggota polis, Mohd. Shahridhuan Zohir diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Sesyen 3 bagi menghadapi pertuduhan menerima rasuah di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2021.

SHAH ALAM – Seorang bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM3,900 dari pemilik sebuah pusat urut antara 2016 hingga 2017.

Tertuduh, Mohd. Shahridhuan Zohir, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.

Mengikut pertuduhan pilihan, pada 3 Disember 2016 tertuduh telah menerima suatu barang berharga tanpa balasan iaitu wang tunai RM600 dari seorang pemilik pusat urut berusia 42 tahun.

Mohd. Shahridhuan juga berdepan dengan lima lagi pertuduhan menerima wang tunai keseluruhan RM3,300 bersama anggota berpangkat koperal dan lans koperal serta konstabel percubaan dari individu sama.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh ketika menjawat jawatan Lans Koperal di Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di JJ Harmony Spa, No. G21, Jalan Anggerik Perdana 2, Taman Anggerik, Semenyih antara 5 Oktober 2016 hingga 4 Februari 2017 dan di Restoran Pecel Lele, Jalan Hentian 3, Off Jalan Reko, Kajang pada 27 Jun 2016.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tuan Attfina Tuan Kamaluddin yang menawarkan jaminan keseluruhan RM35,000 bersama seorang penjamin.

Dalam rayuannya, Mohd. Shahridhuan yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana sudah tidak lagi bekerja sejak diberhentikan pada 19 Mac 2019.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,500 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 16 Februari depan untuk mendengar fakta kes dan jatuh hukum. – MalaysiaGazette