LONDON – Musim Formula Satu (F1) tahun ini dilewatkan selepas Grand Prix (GP) Australia ditunda daripada Mac ke November berikutan pandemik Covid-19.

Perlumbaan di Melbourne dijadual semula daripada 21 Mac ke 21 November.

GP China juga ditangguhkan tetapi tiada tarikh baru ditetapkan.

Australia dan China merupakan antara tuan rumah F1 yang mengenakan syarat perjalanan yang ketat untuk memasuki negara terbabit.

Berikutan itu, perlumbaan pertama akan diadakan di Sakhir, Bahrain pada 28 Mac, kurang daripada empat bulan selepas lokasi sama menganjurkan dua perlumbaan pada musim 2020.

Perlumbaan tambahan akan diadakan di litar Imola, Itali pada 18 April, seminggu selepas GP China. Tiada kekosongan slot pada 2 Mei, lapor Reuters.

Penangguhan GP Australia juga bermakna perlumbaan penutup tirai di Abu Dhabi dilewatkan selama seminggu kepada 12 Disember.

Penularan Covid-19 telah menggangu perlumbaan F1 selama dua tahun berturut-turut.

Perlumbaan di Australia dibatalkan pada tahun lalu selepas seorang anggota pasukan didapati positif koronavirus.

Ketika itu, para peminat sudah bersedia untuk memasuki litar pada sesi latihan yang diadakan pada hari Jumaat.

Ia merupakan permulaan penundaan dan pembatalan perlumbaan dengan musim 2020 dijadual semula dan bermula pada bulan Julai.

Musim lalu juga menyaksikan jadual 17 perlumbaan yang ketat sehingga Disember dengan semua perlumbaan diadakan di Eropah dan Timur Tengah. – MalaysiaGazette