Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan keperluan melibatkan kumpulan Ahli Parlimen Dewan Negara selaku badan tertinggi institusi keparlimenan dan negara dalam Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan bagi memperakukan jaminan pelaksanaan darurat.
Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya juga prihatin dengan aktiviti ekonomi perlu terus berfungsi sepanjang tempoh darurat tertakluk pematuhan prosedur operasi standard.
Menurutnya, Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memerangi wabak Covid-19 ada kebijaksanaan hikmah demi kesejahteraan negara.
Pengisytiharan Proklamasi Darurat sebagai satu langkah yang berani, ada ketegasannya dan menepati pada kewajaran suasana yang difikirkan baik kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya.
Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga mengambil maklum sepanjang Proklamasi Darurat ini menyebabkan penggantungan sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang membawa maksud bukan bermakna kedua-duanya dibubarkan.
”Justeru itu, soal Proklamasi Darurat tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak tertentu sehingga ada usaha mencelarukan negara dan kebijaksanaan keputusan Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati dan diterima oleh semua pihak dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah beliau, kebenaran melaksanakan aktiviti ekonomi sangat penting dalam usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi negara termasuk pihak yang terjejas teruk dari segi perniagaan dan pekerjaan.
Yang penting, jangan abaikan rakyat dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat dan kesihatan awam kembali pada paras normal yang baharu, ujarnya. – MalaysiaGazette