KELANA JAYA – Persatuan Bola Sepak Kelantan dan Melaka telah diarahkan untuk menjelaskan segera gaji pemain mereka berjumlah RM285,278.92 yang masih tertunggak.

Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan itu dalam mesyuarat kali ke-15 bagi penggal 2017-2021 pada 7 Januari lalu.

Dalam kenyataan media hari ini, pengerusi jawatankuasa itu, Mohd Joehari Ayub berkata pihaknya telah menerima aduan tuntutan tunggakan gaji daripada pemain kedua-dua persatuan bola sepak negeri-negeri itu.

“Kami menerima aduan tuntutan itu dari 11 pemain pasukan bola sepak Kelantan dan seorang pemain pasukan negeri Melaka.

“Untuk Kelantan tuntutan yang dikemukakan 11 pemain pasukan itu adalah bermula jumlah tunggakan gaji serendah RM1,289.50 membabitkan pemain Muhammad Fikri Hakim Kama dan maksimum RM63,000 manakala seorang pemain Melaka bernama Curran Lawrance Singh Ferns membabitkan tuntutan tunggakan gaji berjumlah RM97,500,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Tambah Mohd Joehari, daripada 11 pemain itu, the Red Warriors berhutang tunggakan gaji berjumlah lima digit kepada empat pemain iaitu Muhammad Fauzi Rozlan dengan tunggakan gaji sebanyak RM63,628.18 diikuti Muhammad Zulfahmi Awang dengan tunggakan gaji sebanyak RM50,000.

“Dua lagi pemain adalah Muhammad Afiq Azuan dengan tunggakan gaji sebanyak RM32,141.99 dan Wan Mohammed Afiq Wan Mohamed Kasbi dengan tuntutan tunggakan gaji sebanyak RM21,000.00 kesemuanya tunggakan itu dikehendaki dibaayar oleh persatuan mereka tertakluk kepada potongan wajib pendapatan,” tegasnya tanpa memperincikan sebarang tarikh tetap akhir pembayaran itu perlu dilaksanakan.-MalaysiaGazette