Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Selepas tiga menteri disahkan positif Covid-19 semalam, hari ini seorang timbalan menteri menerima nasib sama selepas menjalani ujian saringan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin disahkan positif Covid-19 setelah menerima keputusan ujian saringan awal pagi tadi.

Beliau menjalani ujian saringan itu sebaik tiba di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada 11 Januari lalu.

Zahidi kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Menteri itu, pada 25 Disember lalu, beliau telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusannya negatif.

“Datuk Zahidi kini berada dalam keadaan yang stabil dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul. Beliau juga berdoa agar Allah mempermudahkan urusan semua yang terlibat,” kata kenyataan itu.

Dua dari tiga menteri yang positif Covid-19 semalam ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – MalaysiaGazette