Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

WALAUPUN darurat diisytiharkan dalam negara, semua pihak harus terus menghormati prinsip dan proses kedaulatan undang- undang yang ada. Pengisytiharan darurat tidak bermakna negara kita tidak ada lagi undang-undang dan semua orang berhak untuk buat apa-apa sahaja yang mereka suka. Walaupun Parlimen digantung, ia tidak bermakna pemimpin yang bakal diberi kuasa untuk memerintah negara sepanjang tempoh darurat ini berlangsung boleh buat sebarang perkara yang mereka suka. Negara kita masih memiliki Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang- undang tertinggi sekali dalam negara kita. Negara kita juga memiliki undang-undang yang perlu dihormati.

Prinsip hak asasi manusia masih juga perlu dihormati. Pihak penguatkuasa sedia ada seperti polis perlu melakukan proses pemantauan supaya tiada pihak yang melanggar peruntukkan undang-undang sedia ada dalam negara kita. Semua pihak termasuk badan hak asasi manusia, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam negara kita serta pihak majlis peguam perlu memantau perjalanan proses darurat dalam negara kita.Teguran harus diberi kepada mana-mana pihak termasuk kepada para pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mereka sepanjang proses darurat ini berkuatkuasa dalam negara kita.

Apa itu darurat? Darurat ialah proses pengisytiharan yang dibuat oleh pihak kerajaan yang lazimnya bagi menggantungkan fungsi- fungsi biasa tertentu dalam kerajaan. Darurat terpaksa dibuat apabila keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran sedia ada sebelum adanya pengistiharan darurat ini. Di Malaysia, kuasa pengisytiharan darurat ini terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Jika Yang di-Pertuan Agong berkenaan bahawa ada situasi darurat yang teruk di mana keselamatan, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana – mana bahagiannya terancam, baginda boleh mengeluarkan “Pengisytiharan Darurat” yang mana dalamnya terdapat perisytiharan untuk perkara itu.

Kuasa pengisytiharan daurat ini jelas termaktub dibawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu pengisytiharan yang bermaksud sedemikian”.

Perkara 150 (2) Perlembagaan Persekutuan pula jelas menyatakan bahawa (2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.Umum telah pun ketahui mengenai penularan virus Covid-19 yang berlaku dalam negara kita pada ketika ini. Negara kita juga sedang hadapi kemelut politik sehingga menganggu fokus kita untuk mengurangkan dan membendung penularan virus Covid-19 ini dalam negara kita.

Oleh itu, proses pengistiharan darurat ini perlu dilihat sebagai satu langkah positif bagi memastikan penularan virus Covid-19 tidak menjadi bertambah teruk berlaku dalam negara kita. Semua pihak harus memberi kerjasama supaya negara kita tidak terjejas teruk susulan pengistiharan darurat ini. Para pemimpin yang bakal diberi kuasa sepanjang proses darurat ini pula perlu menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka dengan jujur dan penuh bertanggungjawab.

Sebarang proses penyalahgunaan kuasa tidak seharusnya dibenarkan berlaku sepanjang proses darurat ini. Tindakan yang sewajarnya harus diambil terhadap mana-mana pihak termasuk terhadap para pemimpin sendiri sekiranya mereka melanggar peruntukan undang- undang sedia ada dalam negara kita serta menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang- Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)