Nor Zahidi Alias (kiri) dan Gan Wee Beng

KUALA LUMPUR – Nor Zahidi Alias dan Datuk Dr. Gan Wee Beng sebagai anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia untuk tempoh dua tahun, masing-masing berkuat kuasa pada 1 Januari 2021 dan 1 April 2021.

Untuk Gan, ia merupakan pelantikan semula.

Di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan dasar-dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari. Akta Bank Negara Malaysia 2009 juga memberi peruntukan kepada pelantikan anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari.

Nor Zahidi adalah bekas Ketua Ekonomi di Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC), berkelulusan Sarjana dalam bidang Dasar Ekonomi dan Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Boston University.

Manakala Gan merupakan anggota Jawatankuasa Dasar Monetari sejak 1 April 2019, juga merupakan Ahli Lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga di Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan telah menyandang beberapa jawatan dalam CIMB Group termasuk sebagai Penasihat Perbankan Pelaburan dan Pengarah Eksekutif di CIMB Bank, CIMB Investment Bank dan CIMB Securities.

Pelantikan Nor Zahidi Alias dan Gan akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman bersama berkaitan dengan tanggungjawab dan fungsi Jawatankuasa Dasar Monetari. Dengan pelantikan ini, Jawatankuasa Dasar Monetari akan dianggotai lapan orang ahli.

Anggota Jawatankuasa Dasar Monetari yang lain adalah Gabenor, Nor Shamsiah Yunus; tiga timbalan gabenor iaitu Abdul Rasheed Ghaffour, Jessica Chew Cheng Lian dan Marzunisham Omar.

Selain itu, dua penolong gabenor iaitu Norzila Abdul Aziz dan Dr. Norhana Endut. – MalaysiaGazette