Seramai 6,894 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu seramai 154 orang disahkan positif Covid-19 semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,211 kes positif baharu Covid-19 dengan 1,939 kes sembuh direkodkan dalam tempoh 24 jam hingga jam 12 tengahari.

Berikutan itu, jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 151,066 kes manakala jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 115,227 kes atau 76.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 berjumlah 35,253 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah sebanyak 3,206 kes.

Katanya, bagi kes penularan di dalam negara, 2,045 kes melibatkan warga tempatan manakala 1,161 kes adalah warga asing.

“Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 889 kes (27.7 peratus) dan daripada jumlah ini, sebanyak 658 kes (74.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Johor menduduki tempat kedua dengan 535 kes (16.7 peratus) dan Sabah sebanyak 514 kes (16.0 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 401 kes harian.

“Sebanyak 12 kes (0.4 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Kemus (enam kes), Kluster Penjara Seberang Perai ( dua kes), Kluster Matambai (dua kes), Kluster Telok Mas dan Kluster Penjara Jalan Harapan masing-masing melaporkan satu kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, sehingga kini terdapat 204 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 87 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 586 kes atau 0.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ujarnya, seorang mangsa adalah warga asing manakala tujuh lagi adalah warga tempatan.

Katanya, kematian ke-579 adalah kes ke-78827 melibatkan lelaki dari Sabah berusia 66 tahun meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Tambah beliau, kematian ke-580 adalah kes kes-105193 seorang lelaki tempatan berumur 78 tahun dari Sabah meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

“Manakala kematian ke-581 membabitkan kes ke-126597 lelaki tempatan dari Selangor berusia 79 tahun meninggal di Hospital Sungai Buloh dan kematian ke-582 iaitu kes ke-126621 juga lelaki tempatan dari Selangor berusia 50 tahun meninggal dunia di hospital sama.

“Kematian ke-583 adalah kes ke-137805 dari Kedah seorang lelaki berusia 62 tahun meninggal dunia di Hospital Bahiyah Alor Setar,” katanya.

Noor Hisham berkata, kematian ke-584 adalah kes ke-145000 di Selangor melibatkan lelaki warga tempatan berusia 66 tahun meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

Kematian ke-585 pula menyaksikan kes ke-145537 seorang wanita warga emas berusia 76 tahun dari Selangor meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, ujarnya.

“Akhirnya kematian ke-586 adalah kes ke146620 dilaporkan di Johor melibatkan wanita asing warga emas berusia 72 tahun meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang berlatarbelakangkan dislipidemia dan kebutaan, kencing manis serta darah tinggi,” kata beliau. – MalaysiaGazette