Proklamasi Darurat beri kelebihan kepada pasukan keselamatan mengetatkan uandang-undang.- Gambar hiasan.

PENGISYTIHARAN darurat yang dilakukan dalam negara kita tidak harus menjadi lesen kepada mana- mana untuk melakukan sebarang tindakan salah guna kuasa. Walaupun darurat telah diisytiharkan dalam negara kita pada ketika ini, ia tidak bermakna negara kita tidak memiliki Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan undang-undang lagi.

Baru- baru ini, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan baginda supaya pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan virus Covid-19 dalam negara kita yang menyaksikan peningkatan jumlah kes jangkitan sejak kebelakangan ini.

Seperti yang diketahui umum, negara kita sedang bergelut hadapi penularan virus Covid-19 yang boleh mengancam tahap kesihatan dan nyawa orang ramai. Pengistiharan darurat ini dilakukan sebagai usaha bagi mengawal serta membendung penularan virus Covid-19 ini.

Apa itu darurat? Darurat ialah proses pengisytiharan yang dibuat oleh kerajaan yang lazimnya bagi menggantung fungsi- fungsi biasa tertentu dalam kerajaan. Darurat terpaksa dibuat apabila keadaan dalam negara berada dalam keadaan yang tidak stabil serta sukar untuk dikawal melalui proses pentadbiran biasa.

Pengisytiharan darurat selalunya dibuat atas faktor yang berkaitan dengan keselamatan negara, keadaan ekonomi negara, ataupun ketenteraman awam.

Di Malaysia, kuasa pengisytiharan darurat ini terletak pada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Jika DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan bahawa ada situasi darurat yang teruk di mana keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, baginda boleh mengeluarkan “Pengisytiharan Darurat” yang mana dalamnya terdapat perisytiharan untuk perkara itu.

Kuasa pengisytiharan darurat ini jelas termaktub dibawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Darurat boleh diisytihar atas seluruh Persekutuan atau mana-mana bahagian dalam Persekutuan.

Semua ini jelas termaktub di bawah Perkara 150(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan. Ketika proklamasi darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif Persekutuan adalah juga meliputi semua perkara dalam kuasa perundangan Negeri dan memberi arahan kepada kerajaan negeri atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa Negeri. Ini jelas termaktub di bawah Perkara 150 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Sepanjang tempoh darurat ini pihak Parlimen boleh membuat undang-undang atau dikenali sebagai Ordinan. Undang-undang ini adalah sah walaupun ianya tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150 (2C) menyatakan bahawa “…Parlimen berkuasa membuat undang- undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh dalam mana-mana satu Majlis Parlimen”.

Perkara 150 (5) Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa pihak Parlimen boleh membuat undang-undang tanpa persetujuan atau keizinan, atau tanpa perundingan bersama mana- mana pihak sebagaimana disyaratkan oleh undang- undang. Namun begitu, pihak Parlimen tidak dibenarkan membuat undang-undang dalam beberapa perkara tertentu seperti Hukum Syarak (Undang-Undang Islam), adat Melayu atau undang-undang atau adat anak Negeri di Sabah dan Sarawak.

Mereka juga tidak boleh membuat Ordinan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan dalam perkara berhubungan dengan agama, kewarganegaraan atau
bahasa. Perkara ini jelas termaktub dibawah Perkara 150 (6A) Perlembagaan Persekutuan.

Memandangkan negara kita kini berada dalam tempoh darurat, adalah penting supaya supaya semua pihak yang berkaitan tidak membawa negara ini ke kancah huru– hara. Pengisytiharan darurat tidak bermakna semua pihak bebas melakukan apa-apa sahaja yang mereka ingini sehingga melanggar peruntukan undang-undang sedia ada dalam negara, kebebasan orang ramai serta hak asasi manusia.

Perlu diingat, proses pengisytiharan darurat ini dibuat bagi memastikan negara kita berjaya mengawal serta membendung penularan virus Covid-19 dalam negara kita.
Oleh yang demikian, tiada pihak yang harus dibenarkan melakukan sebarang perkara yang tidak berkaitan selain daripada usaha untuk mengawal dan membendung
penularan virus Covid-19.

Walaupun Parlimen digantung, negara kita masih memiliki Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi sekali dalam negara kita. Negara kita juga memiliki pelbagai jenis peruntukan undang-undang yang masih perlu dihormati. Prinsip hak asasi manusia masih juga perlu dihormati. Prinsip keadilan masih perlu dihormati pada setiap masa.

Sebarang jenis undang-undang baru atau ordinan yang ingin dikeluarkan kelak perlu dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab serta tidak membawa kemudaratan kepada mana-mana pihak dalam negara kita.

Pada masa yang sama, pengisytiharan darurat ini juga seharusnya menjadi satu isyarat kepada kerajaan untuk memanggil wakil pembangkang untuk terlibat sama di dalam agenda menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang dihadapi negara pada hari ini.

Mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan atas keadaan darurat untuk menindas atau memburukkan lagi keadaan mana-mana pihak hanya kerana berada di kedudukan politik yang berbeza. Sebaliknya ia harus menjadi satu medan untuk semua pihak, ahli politik khususnya untuk duduk semeja dan fikir soal kebajikan rakyat.

Rakyat juga tidak mahu agenda politik kepartian menjadi zikir yang diulang-ulang di dalam siaran televisyen atau menjadi tulisan di akhbar. Apa yang penting hari ini adalah memastikan periuk nasi rakyat dijaga baik dan kebajikan ekonomi mereka dibela walaupun ketika negara berada di dalam situasi darurat. Malah, agenda politik bipartisanship seharusnya dijadikan strategi utama dalam melawan krisis kesihatan dan ekonomi negara.

Tidak usahlah kita sibuk berbicara tentang tarikh pilihan raya umum akan datang atau siapa yang akan memegang kuasa untuk memerintah negara ini sekiranya masih ramai lagi rakyat di luar sana yang susah, lapar dan sakit.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) &

YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Ahli Parlimen, Muar