Mak Kah Keong

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan berpendapat hanya pihak kurang siuman sahaja akan mencabar kuasa Yang Di-Pertuan Agong yang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dengan meminta baginda untuk menarik semula pengisytiharan darurat tersebut.

Tindakan ini seolah-olah menghina kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong dalam melaksanakan perkenan dan hemat baginda.

Parti Gerakan berkata, Sudah pastinya baginda telah mengambil kira segala faktor yang berkaitan sebelum membuat perkenan untuk mengisytiharkan darurat.

Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong berkata, parti itu berpendapat bahawa kuasa pengisytiharan darurat dibuat berdasarkan kepada budi bicara dan kuasa Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

”Jika baginda Yang Di-Pertuan Agong telah berpuas hati yang ancaman darurat besar atas keselamatan negara, ekonomi dan ketenteraman awam telah berlaku, sedang berlaku atau akan berlaku maka baginda Yang Di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat.

”Kuasa tersebut adalah mutlak dan muktamad, dan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mencabar ketertinggian Perlembagaan Persekutuan termasuklah kedudukan Yang Di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan di sini.

Malangnya, sindir beliau, seorang presiden daripada sebuah parti politik yang tersohor dengan kelicikannya dalam memanipulasi sentimen rakyat melalui kisah sokongan majoriti, berusaha mencabar pengisytiharan tersebut atas dasar kepentingan peribadi beliau sendiri.

Yang penting sekarang adalah untuk berganding bahu melawan dan melandaikan lengkung jangkitan baru Covid-19.

Bukannya masa untuk berpolitik, ataupun guling kerajaan demi memuaskan nafsu kuasa politik.

Tambahnya, darurat kesihatan yang dikatakan akan menggantung kuasa parlimen perlu dilihat sebagai suatu usaha kerajaan untuk mewujudkan kestabilan politik agar semua pihak bersatu menggembleng tenaga melawan pandemik Covid-19 yang berada pada tahap genting ketika ini.

Oleh itu, demokrasi perlu dilihat dengan nota keberkesanan, maka menjadi tanggungjawab semua, tidak kira pembangkang mahupun kerajaan, perlu bermuafakat dalam menjunjung Yang di-Pertuan Agong dan berkerjasama dengan kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 serta seterusnya mengembalikan kestabilan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette