Antara gelagat calon ketika menjawab soalan kertas Bahasa Melayu Kertas 1 pada hari pertama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di SMK Saujana Impian, Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Insitut Pengajian Tinggi (IPT) tidak dibenarkan mengenakan syarat untuk pelajar menjalani ujian swab sebelum memasuki asrama atau sebelum menduduki peperiksaan.

Sebaliknya Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ujian saringan hanya perlu kepada pelajar yang bergejala sahaja.

“Sidang khas hari ini membincangkan perkara ini dan bersetuju bahawa IPT atau sekolah tidak boleh mengenakan syarat
kepada pelajar untuk menjalani swab test sama ada bagi memasuki asrama atau untuk menduduki peperiksaan kecuali bagi pelajar yang bergejala sahaja,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai aduan bahawa IPT dan sekolah di beberapa negeri mengenakan syarat kepada pelajar supaya membuat swab test sebelum masuk ke kampus atau asrama untuk menduduki peperiksaan dengan kos
ditanggung sendiri.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk membenarkan pelajar yang berambut panjang menduduki peperiksaan khususnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM).

Ujarnya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kedai gunting rambut yang tidak beroperasi dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Ada soalan, macam mana nak ambil periksa kalau rambut panjang kerana peraturan sekolah rambut pendek.

“KPM telah buat buat keputusan hasil perbincangan sidang khas bahawa walaupun mereka berambut panjang dibenarkan ke sekolah tanpa tindakan daripada guru, kerana kedai gunting rambut masih belum dibenarkan beroperasi,” ujarnya.-MalaysiaGazette