Sekumpulan pengamal media yang sedang bertugas. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Susulan kes positif Covid-19 dalam kalangan Ahli Parlimen dan menteri Kabinet serta peningkatan kes harian Covid-19, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) menyeru supaya semua sidang media sama ada membabitkan agensi kerajaan mahupun swasta dilakukan secara dalam talian dan menghadkan aktiviti sidang media secara bersemuka.

Namun, pada masa sama, NUJM memohon jasa baik semua pihak untuk memberikan kerjasama kepada petugas media ketika dihubungi bagi mendapatkan sebarang komen serta penjelasan membabitkan sebarang isu.

”NUJM juga memohon kerjasama diberikan kepada petugas media dalam membuat liputan di tempat awam, tinjauan serta diberikan pelepasan khas ketika melalui sekatan jalan raya.

”Perkara ini perlu dilakukan dan mendapat kerjasama daripada semua pihak itu bagi memastikan penularan jangkitan dapat dibentung dan pada masa yang sama membolehkan para petugas menjalankan tugas mereka,” katan Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, petugas media antara golongan yang paling terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 ketika menjalankan tugas, namun, acap kali peranan dan keselamatan mereka diketepikan.

”Jumlah pengamal media yang kini bertugas semakin berkurangan, mereka bukan saja perlu membuat liputan membabitkan isu Covid-19 malah liputan banjir, politik, mahkamah dan juga jenayah.

”Oleh itu, adalah menjadi tugas NUJM untuk memastikan keselamatan serta kebajikan petugas media terjaga supaya maklumat yang terbaik dapat teruskan disalurkan kepada orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, semua tugas media diminta supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas dan mematuhi segala amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mana-mana petugas media yang mempunyai gejala Covid-19 dinasihatkan untuk segera melakukan ujian saringan di hospital dan mematuhi arahan kuarantin wajib, ujar beliau. – MalaysiaGazette