Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja dan bersiap sedia dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2021.

SERDANG – Kementerian Kesihatan dalam proses membina hospital bersepadu bagi merawat pesakit Covid19 yang lebih kritikal membabitkan kategori tiga, empat dan lima di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Menteri Kesihatannya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, hospital bersepadu akan memulakan operasinya secara rasmi pada 24 Januari ini.

Katanya, hopital bersepadu itu akan dibina di Dewan B yang kini menempatkan pesakit wanita di PKRC akan dilengkapi kemudahan kapasiti permulaan 30 buah katil pesakit Covid-19.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia melakukan kerja-kerja dan bersiap sedia dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2021.

“Manakala sebuah transit Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam sebuah khemah ‘negatif pressure‘ di luar Dewan B yang menampatkan 10 katil pesakit kategori 5, yang mana akan dilengkapi peralatan mesin ala ICU sebenar di hospital Covid19 sebelum memindahkan ke Hospital Serdang jika berlaku yang mendadak dari kategori 4 dan 5.

“Malah, Dewan B juga akan dilengkapi peralatan unit rawatan rapi (ICU), pakar penyakit berjangkit dan pakar bius.

“Hospital bersepadu ini dibina untuk merawat individu yang sebelum itu berada dalam rawatan Covid-19 kategori satu ataupun dua, tetapi tahap kesihatan mereka merosot ke kategori tiga atau empat.

“Kita akan cuba stabilkan pesakit lebih kritikal ini sebelum dihantar ke Hospital Serdang atau hospital lain yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke PKRC 2.0 Maeps di sini.

Adham menambah, pihaknya juga akan menempatkan khidmat pakar penyakit berjangkit dan pakar bius bagi mengendalikan pesakit kategori lebih kritikal di hospital bersepadu itu, selain kelengkapan bersesuaian seperti alat bantuan pernafasan.

Seorang pekerja melakukan persiapan bagi kemasukan pesakit Covid-19 yang baharu dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2021.

Ujar beliau, sebanyak 30 katil pesakit kritikal ini akan ditempatkan di tengah-tengah dewan B, manakala 1,040 buah katil merangkumi pesakit kategori satu dan dua di kawasan sekeliling.

Pada masa yang sama, KKM akan melaksanakan strategi baharu iaitu proses rawatan Covid-19 berteraskan strategi ‘step down care‘ atau penyusutan tahap penjagaan, susulan perkembangan semasa pandemik itu yang agak agresif ketika ini.

“Menerusi pendekatan itu, setiap pesakit Covid-19 yang dilaporkan sembuh lebih awal daripada kategori tiga, empat dan lima di hospital Covid-19 akan dibawa dan ditempatkan di PKRC 2.0 untuk pemantauan lanjut.

“Apabila mereka sudah sembuh (daripada komplikasi kesihatan seperti radang paru-paru) dan berada dalam kategori satu dan dua, mereka dipindahkan dari hospital Covid-19 ke PKRC 2.0.

“Daripada laporan yang diterima KKM setakat ini, terdapat pesakit Covid-19 dalam kategori tiga, empat dan lima yang cepat sembuh selepas menerima rawatan di hospital.

“Dengan kaedah ini, KKM menjangkakan dapat menerima pesakit dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta dari Putrajaya untuk ditempatkan di PKRC 2.0 selepas ini nanti,” ujar Adham.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dalam keadaaan makin genting dan mendesak, mari berdoa langkah yg diambil dan dirancang berjaya. Moga Allah permudahkan urusan mereka dan kita semua. Aminnn

Comments are closed.