KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas, yang telah kembali ke Rahmatullah pada pagi hari ini.

Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

Dalam kenyataan di sini, baginda berdua bertitah menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin. – MalaysiaGazette