MELAKA – Dua nelayan tempatan dikhuatiri lemas ketika keluar menangkap ikan di perairan Selat Melaka sekitar Pulau Undan di sini selepas turun ke laut sejak Rabu lepas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II, Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, mangsa dikenali sebagai Ahmad Norizan Mohamad, 37, manakala rakannya hanya dikenali sebagai Wan, berumur lingkungan 30-an.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 11.26 pagi tadi dan tujuh anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Temu telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dibantu oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Melaka Tengah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut Malaysia melibatkan kekuatan keseluruhan 36 orang.

“Operasi berkenaan bermula sekitar 2.17 petang sebelum ditangguh pada 7.04 malam ini dengan radius pencarian kedua-dua mangsa adalah sekitar lapan hingga 10 batu nautika dari Jeti Nelayan Padang Temu berpandukan maklumat awal yang diterima,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dilaporkan turun ke laut pada 13 Jan lepas sebelum keluarga mangsa membuat laporan polis, petang semalam.

Katanya, bot fiber yang dinaiki kedua-dua mangsa sebelum ini dilihat nelayan yang melalui perairan itu berada di sekitar Pulau Undan iaitu kira-kira lapan batu nautika dari Jeti Nelayan Padang Temu pada hari sama (13 Jan).

Muhammad Izwan Arief berkata, operasi SAR akan bersambung pada 6.45 pagi esok dan pemantauan dari udara menggunakan helikopter akan turut digerakkan selain radius pencarian diperluaskan. – Bernama