Orang awam beriadah pada hari minggu di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 17 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Rata-rata orang ramai yang melakukan aktiviti senaman dan riadah di taman awam seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mematuhi dan mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sebagai langkah pencegahan Covid-19.

Tinjauan Malaysia Gazette di Taman Tasik Titiwangsa hari ini mendapati kebanyakan pengunjung tidak lupa untuk mengimbas kod aplikasi MySejahtera dan memeriksa suhu badan mereka di pintu masuk taman awam berkenaan sebelum melakukan aktiviti masing-masing.

Selain itu, anggota penguatkuasa DBKL turut dilihat melakukan rondaan dan membuat pengumuman menggunakan pembesar suara bagi mengingatkan pengunjung supaya tidak leka untuk mematuhi penjarakan fizikal serta menjaga kebersihan kawasan tersebut.

Seorang pekerja swasta, Mohamad Azeme Osman, 46, berkata, hanya segelintir dalam kalangan pengunjung yang dilihat tidak patuh kepada syarat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) apabila melakukan aktiviti riadah melebihi dua orang dan berkumpulan.

Pekerja Swasta, Mohamad Azeme Osman ketika ditemubual oleh Malaysia Gazette mengenai aktiviti beriadah sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 17 JANUARI 2021.

“Pembukaan semula taman awam ini bagus dan mereka pun patuh SOP cuma ada sebilangan lah yang datang bawa anak-anak kerana syaratnya berdua tapi ada juga yang berkumpulan.

“Walaupun kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tapi beriadah itu ada kelonggaran sedikit lah tidak seperti PKP fasa pertama dahulu bila rakyat terus statik di rumah tidak dapat keluar ke mana-mana. Kali ini, PKP 2.0 ada kelonggaran tapi jangan ambil mudah tentang SOP.

“Sekitar ini juga ada penguatkuasa (DBKL) dan anggota polis buat rondaan di luar tasik ini,” katanya.

Bagi warga emas, Mohd Ismail, 65, suasana di Taman Tasik Titiwangsa sudah tidak sesak seperti minggu-minggu lalu sebelum PKP 2.0 dilaksanakan.

Pesara, Mohd Ismail ketika ditemubual oleh Malaysia Gazette mengenai aktiviti beriadah sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 17 JANUARI 2021.

Kata pesara itu lagi, orang ramai yang hadir juga boleh mempraktikkan penjarakan fizikal kerana tidak berlaku kesesakan pengunjung.

“Mereka yang datang pun tidak lupa untuk jaga jarak masing-masing dan semuanya lancar.

“Jika diteruskan hari-hari begini memang bagus lah, ikut SOP kerana itu yang kita mahu kerana lebih baik mencegah daripada terjadi sesuatu perkara tidak diingini,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Fatin Amira, 30, berkata, pengumuman pembukaan semula taman awam di seluruh Wilayah Persekutuan memberi sedikit kelegaan buat para ibu yang bekerja sepertinya.

Pekerja Swasta, Fatin Amira ketika ditemubual oleh Malaysia Gazette mengenai aktiviti beriadah sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 17 JANUARI 2021.

“Macam saya ada anak kecil jadi hari minggu boleh lah keluar sekejap, lega lah sedikit sebab boleh ambil angin bawa mereka.

“Hari ini pengunjung agak kurang dan mereka pun tidak alpa untuk jaga SOP masing-masing. Ada tadi yang saya nampak, naik basikal pun mereka berhenti untuk imbas kod dan periksa suhu badan,” katanya.

Sementara itu, lain pula situasi yang berlaku di luar kawasan berkenaan apabila orang ramai yang berjoging mengelilingi taman tasik itu dilihat tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan melakukan aktiviti itu secara berkumpulan.

Seorang pekerja swasta, Ahmad Faizal, 32, berkata, masih ada yang kurang peka terhadap SOP walaupun kerajaan telah menguatkuasakan PKP 2.0.

Pekerja Swasta, Ahmad Faizal ketika ditemubual oleh Malaysia Gazette mengenai aktiviti beriadah sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 17 JANUARI 2021.

“Kita boleh tengok ada yang lari (di luar) bukan bersendirian selain tidak amalkan SOP dengan betul iaitu bukan jarak satu meter.

“Di luar ini memang sentiasa ramai orang joging terutamanya pagi dan selepas waktu pejabat kira-kira pukul 6 petang,” katanya.

Pada Jumaat, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua taman awam dan rekreasi di seluruh Wilayah Persekutuan akan dibuka semula kepada orang ramai namun dengan kawalan ketat.

Kata beliau, mereka yang mengunjungi taman awam berkenaan tidak dibenarkan menjalankan sebarang acara berkumpulan seperti senam robik dan aktiviti perniagaan juga tidak dibenarkan beroperasi selain perlu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT). – MalaysiaGazette.