Rayyan Radzwill Abdullah

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan kes projek solar hibrid, Rayyan Radzwill Abdullah menyatakan keputusan nekadnya untuk mendapatkan kembali hak beliau melalui proses saman ke atas bekas rakan niaganya, Saidi Abang Samsudin.

Katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette, beliau telah mendapatkan penghakiman dari Hakim Ahmad Bachee minggu lepas, yang memerintahkan pembicaraan penuh dijalankan, dengan sebutan pengurusan kes pada 8 Februari ini.

Menurut beliau, sebelum ini Saidi yang merupakan bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings telah membuat permohonan membatalkan saman itu, tetapi ditolak mahkamah.

“Dalam dokumen yang disaksikan, mahkamah telah memutuskan saya memiliki kes yang amat kuat untuk dijawab oleh Saidi.

“Mahkamah juga telah memberi peluang kepada Saidi untuk buktikan merit pembelaannya berhubung tuduhannya bahawa tuntutan yuran konsultasi kepada saya harus dibuat ke atas Jepak Holdings, bukan kepadanya.

“Bahkan, beban hutang konsultasi yang ditujukan oleh Saidi ke atas syarikat itu dibuat selepas Saidi menjual syarikat berkenaan dan mendiamkan diri setelah menerima dua surat tuntutan sebelum kes ini dimulakan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Rayyan Radzwill, tindakan saman itu dibuatnya atas dorongan sebab utama iaitu untuk mendermakan separuh dari wang yang bakal dimenanginya kepada murid miskin di sekolah pendalaman Sarawak yang dikatakan menderita akibat skandal solar itu.

Beliau merasakan bertanggungjawab sebagai konsultan yang mendapatkan projek itu untuk Saidi.

Malah, dia juga merasakan bersalah dan berniat mahu menebus dosa apabila mendapati kes seorang guru muda meninggal dunia akibat kebakaran ketika sekolah bergelap di Miri dalam tempoh projek itu.

“Saya berhajat mencari keluarga guru ini untuk membayar sebahagian daripada hasil saman ini jika berjaya.

“Bagi saya, tidak wajar wang konsultasi atas segala kerja teknikal melibatkan penyediaan kertas kerja, kertas kewangan, BQ termasuk presentation yang merupakan hak milik saya dibiarkan tanpa dituntut,” katanya.

Malah, kata Rayyan Radzwill, beliau turut berniat menggunakan sebahagian yuran konsultasi itu untuk memulakan kilang kimianya yang dihentikan selepas berlaku perselisihan antaranya dengan Saidi.

Atas dua kewajaran itu, katanya, beliau bertindak menyaman Saidi selepas tiga tahun surat tawaran bayaran yuran konsultasi RM10 juta dibuat, selain kecewa apabila bekas Pengarah Urusan itu tidak didakwa.

Malah, tegasnya, sebahagian besar hasil projek solar hibrid itu masih disimpan oleh bekas rakan niaganya itu. – MalaysiaGazette