Seorang tukang gunting ditahan semalam, selepas dipercayai merogol seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun di sebuah kedai di sini.
Gambar fail

ROGOL adalah satu bentuk serangan seksual dan  merupakan jenayah yang serius. Melibatkan perbuatan seksual yang dilakukan secara paksa dan tanpa kerelaan mangsa.

Amat membimbangkan apabila Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2020 menunjukkan jenayah rogol dan mencederakan mencatatkan peningkatan sebanyak 5.5 dan 2.9 peratus pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Semalam kita dikejutkan dengan kes remaja perempuan berusia 16 tahun dirogol ketika dalam tahanan polis di dalam lokap oleh seorang tahanan lelaki. Remaja tersebut ditahan pada 8/1/2021 di Balai Polis Pusat Miri selama satu malam bagi membantu siasatan.

Pada 9/1/2021, antara jam 4-5 pagi, seorang tahanan lelaki (ditahan di lokap sel yang berlainan) yang memiliki kunci lokap tahanan wanita membuka pintu sel itu dan membawa remaja perempuan tersebut ke tandas di balai polis itu sebelum merogolnya. Sel lokap tahanan lelaki itu dilaporkan tidak berkunci.

Pada 12 Januari lalu, suspek lelaki telah didakwa di Mahkamah Sesyen Miri dan telah pun mengaku bersalah.

Saya merasa bimbang bagaimana keselamatan orang tahanan telah dilanggari  (breach) sedangkan balai polis sepatutnya menjadi tempat ruang terselamat bagi mana-mana orang kerana ia tempat yang mengikut undang-undang.

Meskipun berita melaporkan bahawa remaja perempuan tersebut ditahan di sel berasingan daripada tahanan lelaki, persoalan timbul bagaimana dengan mudah tahanan lelaki yang ditahan di dalam sel lokap boleh lolos dan bagaimana tahanan lelaki tersebut mempunyai kunci untuk membuka pintu sel lokap remaja perempuan tersebut.

Seksyen 85, Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan bahawa sekiranya kanak-kanak ditahan di balai polis, tempat tahanan ataupun mahkamah, kanak-kanak tersebut mestilah dihalang daripada bergaul dengan pesalah dewasa. Menurut Akta tersebut juga, jika kanak-kanak tersebut adalah seorang perempuan, mereka perlu berada di bawah jagaan seorang wanita sepanjang tempoh tahanan.

Akta tersebut digubal dengan jelas untuk memastikan kebajikan kanak-kanak perempuan bawah umur (18 tahun ke bawah) semasa berada dalam tahanan polis. Kejadian rogol itu jelas menunjukkan berlakunya kecuaian/pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (duty of care). Kewajipan berjaga-jaga oleh anggota polis terhadap tahanan polis/suspek dalam tahanan telahpun diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Malaysia dalam kes Datuk Seri Khalid Bin Abu Bakar & Ors V N Indra A/P P Nallathamby (The Administrator Of The Estate And Dependent Of Kugan A/L Ananthan, Deceased) And Another Appeal [2015] 1 MLJ 353. Di dalam kes tersebut, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa pasukan polis adalah badan profesional awam dan seperti badan profesional lain, mereka mempunyai kewajipan berjaga-jaga dalam melaksanakan tugas mereka.

Kejadian jenayah rogol berlaku di balai polis,  ketika dalam tahanan polis di lokap balai polis adalah kecuaian yang amat serious. Ia turut menjatuhkan imej serta reputasi PDRM.

Oleh itu, adalah adil dan wajar agar kakitangan polis/kerajaan tersebut disiasat dan dikenakan tindakan disiplin & undang-undang supaya imej, reputasi dan kepercayaan terhadap PDRM kembali pulih.

Wan Azliana Wan Adnan
Peguam & Pengerusi Persatuan Sahabat Wanita Prihatin Negeri Terengganu
(SWAP)