SOP PKP 2.0 membenarkan perniagaan kedai makanan dan minuman beroperasi sehingga jam 8 malam sahaja.

KUALA LUMPUR – Seramai 21 Ahli Parlimen pembangkang sepakat menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi sepeti tercatat dalam lesen operasi.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan kepada media hari ini, mereka tidak mahu kerajaan mengehadkan operasi jualan sehingga jam 8 malam berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada Rabu lalu.

“Kami menggesa kerajaan PN membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi seperti yang tercatat dalam lesen perniagaan mereka, tidak terhad sehingga 8 malam sahaja.

“Ini kerana sepanjang PKP, SOP tidak membenarkan pelanggan makan di kedai dan penjualan adalah secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran ke rumah sahaja,” kata kenyataan itu.

Menurut mereka, masa operasi kedai makanan dan minuman seperti sekarang telah menyusahkan orang ramai yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.

Katanya, dengan membenarkan peniaga beroperasi mengikut lesen perniagaan akan membantu memulihkan ekonomi mereka, menjana pendapatan penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk di rumah kerana boleh membuat pesanan dari rumah dan tidak terhad sehingga 8 malam sahaja.

“Kami menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera memperbaiki SOP ini kerana ia memberi kesan kepada peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian mereka.

“Kami juga menggesa kerajaan melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.

“Berbanding semasa PKP fasa pertama, peniaga mungkin lebih teruk terjejas kali ini kerana terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium seperti sebelum ini,” katanya.

Antara 21 Ahli Parlimen pembangkang itu ialah Darell Leiking (Penampang), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Hannah Yeoh (Segambut), Yeo Bee Yin (Bakri), Baru Bian (Selangau), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Salahuddin Ayub (Pulai), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Teo Nie Ching (Kulai), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Mahfuz Omar (Pokok Sena), Khalid Samad (Shah Alam), Dr. Maszlee Malik (Simpang Renggam), Maria Chin (Petaling Jaya), Wong Shu Qi (Kluang), Teresa Kok (Seputeh), Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Dr. Lee Boon Chye (Gopeng), Kasthuriraani Patto (Batu Kawan) dan Nor Azrina Surip @ Nurin Aina (Merbok). – MalaysiaGazette