Maritim Selangor menahan kapal tangki Chang An 1 susulan bersauh tanpa kebenaran.

KLANG – Sebuah kapal tangki dinaiki 21 kru warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Selangor selepas dikesan berlabuh tanpa kebenaran di sini semalam.

Kapal tangki Chang An 1 itu ditahan pada jam 12.15 tengah hari kira-kira 4.5 batu nautika barat daya Tanjong Tongkah.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohamad Rosli Kassim berkata, kapal itu ditahan ketika dalam perjalanan dari India menuju ke Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan ke atas kapal yang berdaftar di Panama itu mendapati terdapat seramai 21 kru terdiri daripada warga China dan Myanmar.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, kesemua mereka yang berusia lingkungan 23 hingga 54 tahun itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya, kapal tersebut disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kepten dan pembantu jurutera kapal tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan jenayah maritim boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03 3176 0627 atau MERS 999. – MalaysiaGazette