Kesalahan yang direkodkan adalah sama iaitu tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal di tempat awam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jumlah tangkapan individu yang ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, menunjukkan pertambahan berbanding kelmarin, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dalam operasi pematuhan yang diketuai polis semalam, seramai 785 individu telah ditahan dengan 765 dikenakan kompaun, 19 direman dan seorang dijamin.

Menurut beliau, antara kesalahan direkodkan adalah seperti biasa, iaitu tidak memakai pelitup muka seramai 250 orang, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (137), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (38), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (165), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (31) dan lain-lain (164 orang).

Sementara kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng pula, pasukan keselamatan menahan 33 pendatang asing tanpa izin yang membolosi secara haram di seluruh negara.

Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, polis, anggota tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) turut merampas empat kenderaan darat dipercayai digunakan untuk menyeludup masuk pendatang tanoa izin.

“Sebanyak 428 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam melibatkan tentera, polis, Rela dan AKSEM.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.

Bagi kes kuarantin wajib, kata beliau, sejak 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 106,748 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan semua telah ditempatkan di 81 hotel, 15 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Ulas beliau lagi, daripada jumlah itu, 8,346 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 97,862 individu dibenarkan pulang. – MalaysiaGazette