Beginilah suasana asrama pekerja asing pada operasi JTKSM di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Nasib sekumpulan warga asing yang bekerja di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di ibu kota di Masjid India di sini menyedihkan.

Mereka hanya tidur beralaskan papan nipis di katil masing-masing dan tilam yang disediakan majikan tidak boleh digunakan kerana dipenuhi pijat.

Lebih menyedihkan mereka juga ditempatkan dalam bangunan lama dua tingkat yang sempit, tiada peredaran udara sempurna dan juga tiada laluan kecemasan jika berlaku sebarang bencana.

Suasana asrama pekerja asing pada operasi JTKSM di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 JANUARI 2021.

Itu keadaan tempat tidur yang disediakan majikan kepada pekerja mereka yang kebanyakannya warganegara India dalam serbuan dan pemantauan oleh Ibupejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Pengarah Penguatkuasa JTKSM Putrajaya, Zaini Yaacob berkata, beliau bersama pasukannya dengan kerjasama wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta pegawai Kementerian Kesihatan turun bersama dalam serbuan itu.

Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Zaini Yaacob bercakap pada Operasi Bersepadu Pematuhan PKP di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 JANUARI 2021.

Katanya bermula 11.45 pagi, mereka telah menyerbu sebuah pasar raya besar dan restoran nasi kandar di Jalan Munsyi Abdullah dan memeriksa rekod pendaftaran pekerja asing meninjau sendiri penginapan lebih 300 pekerja asing yang yang disewa di kawasan berdekatan dalam radius 200 meter daripada restoran berkenaan.

Katanya, pasukan JTK mendapati penempatan pekerja asing kedua-dua majikan itu gagal menepati piawaian peraturan yang ditetapkan oleh Akta 446.

Tinjauan MalaysiaGazette yang turut bersama dalam operasi berkenaan mendapati keadaan penginapan mereka yang terpaksa hidup berhimpit sesama sendiri kerana setiap tingkat lebih 10 katil diletakkan rapat tanpa tanpa penjarakan fizikal yang selamat.

Anggota Jabatan Tenaga Kerja melakukan pemeriksaan asrama pekerja asing pada operasi di Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 JANUARI 2021.

“Kami ada disediakan tilam oleh bos tapi kami tidak pakai tilam itu sebaliknya gulung dan buang. Kami bukan tak suka tidur atas tilam tetapi takut kerana tak tahan gigitan pijat sehingga ada yang masuk dalam telinga dan hidung sehingga berdarah,” kata salah seorang pekerja warga India terbabit.

Lebih menyedihkan, bilik mandi dan tandasĀ  bersebelahan tempat membasuh pakaian di hadapan pintu juga sempit turut menjadi tempat menyidai pakaian sesama mereka.

Jika berlaku kebakaran, risiko maut amat tinggi kerana tiada pintu kecemasan atau alternatif untuk lari menyelamatkan diri.

Sementara itu, dalam operasi di penempatan pekerja asing sebuah pasar raya terkemuka di Jalan Munsyi Abdullah di hadapan LRT Masjid Jamek pula mendapati majikan mereka gagal mematuhi peraturan penginapan penempatan pekerja mengikut Akta 446.

Anggota Jabatan Tenaga Kerja melakukan pemeriksaan asrama pekerja asing di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 JANUARI 2021.

Ini kerana seramai 19 pekerja ditempatkan dalam tiga bilik di setiap tingkat bermula tingkat tiga hingga tingkat sembilan.

Zaini berkata, pemeriksaan bersama agensi lain bertujuan menguatkuasakan Akta 446 iaitu Akta Standard Minimum Perumahan Penginapan Pekerja 1990 dan memastikan majikanĀ  membuat saringan Covid-19.

“Hari ini melawat dua pemis majikan termasuk tempat penginapan yang menempatkan 330 pekerja asing dan hasil pemeriksaan atas kedua-dua tempat penginapan mereka telah melakukan perlanggaran kesalahan iaitu tidak mempunyai perakuan penginapan pekerja dari JTKSM dan gagal mematuhi Seksyen 24 (1) Akta 446.

“Kita mendapati kesesakan dalam tempat unit kediaman pekerja telah menduduki ruang sempat tanpa sistem pengudaraan baik walaupun majikan berjaya mematuhi sepenuhnya arahan kerajaan semua pekerja disaring Covid-19.

“Kami menggesa majikan yang ada penginapan pekerja perlu mendapatkan perakuan JTKSM, saya seru semua majikan berhubung dengan JTKSM dapat keterangan lanjut berhubung permohonan penghinapan,” katanya.

Justeru katanya, pihaknya akan berbincang dengan Perkeso bagi menguruskan suntikan vaksin untuk pekerja asing.

Beliau juga menasihatkan majikan seharusnya prihatin berhubung penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan dalam masa yang sama perlu memastikan supaya ruang tidur tidak dihuni pekerja yang ramai dan sesak.

“Kita dapati adalah perlanggaran penginapan pekerja yang padat dan kita mengesan kesalahan itu ketika pemeriksaan rapi di tempat penempatan pekerja hari ini yang mana dipintu bilik ditampal enam pekerja sahaja di satu bilik tetapi pemeriksaan mendapati katil dan pekerja lebih 10 penghuninya.

“Kita akan berbincang dengan majikan supaya mencari langkah jangka pendek mengatasi masalah kesesakan secepat mungkin dan kegagalan mendapat perakuan penginapan dari PBT dan JTK akan dikenakan denda maksimum RM50,000 dan penjara maksimum setahun dibawah Seksyen 24 (1) Akta 446.

“Kita juga akan membuka kertas siasatan JTKSM di bawah Akta 446 dan kementerian kesihatan akan dirujuk untuk tindakan siasatan sewajarnya,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cadangan majikan mcm ni, ambil pekerja asing bagi pada restaurant yg bole bagi tempat selesa untuk mereka. Tutup kedai yg tak ikut sop dan ajar mereka btl btl. Kalau tak Covid tak akan kurang.

Comments are closed.