Petugas Clinic 365 melakukan ujian saringan Covid-19 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan pertambahan sebanyak 325 kes baharu positif Covid-19 berbanding semalam menjadikan jumlah keseluruhan 3,631 kes untuk tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 165,371 kes.

“Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 39,464 kes.

“Daripada jumlah kes baharu, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,624 kes.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 2,754 kes adalah warganegara Malaysia manakala 870 kes adalah bukan warganegara,” katanya pada sidang media di KKM, hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, Selangor merupakan negeri yang merekodkan kes baharu positif yang tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 1,199 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 884 kes daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 526 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 521 kes,” katanya.

Dalam pada itu, kadar kes sembuh hari ini juga direkodkan agak tinggi iaitu sebanyak 2,944 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 125,288 kes (75.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Selain itu, terdapat 238 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 96 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 14 kes kematian direkodkan pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 619 kes (0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya lagi. – MalaysiaGazette