Pradeep Kumar.

KUALA LUMPUR – Syarikat e-hailing, GOJO Malaysia telah mengurangkan komisennya kepada kosong peratus untuk semua pemandu dan penghantar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 14 Januari lalu.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Pegawai Operasi GOJO, Pradeep Kumar berkata, inisiatif itu sebagai langkah dalam membantu rakan pemandu GOJO yang semakin kurang menerima tempahan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini

“Inisiatif kosong peratus Komisen semasa PKP adalah sejajar dengan objektif dan hala tuju syarikat. GOJO adalah visi bersesama yang dibangunkan secara kolektif untuk penduduk tempatan dan oleh rakyat Malaysia.

“Oleh yang demikian, pada masa-masa getir dan mencabar ini, kami akan melakukan apa sahaja yang kami mampu untuk menyokong komuniti setempat, walaupun dengan perbelanjaan kami sendiri,” katanya dalam kenyataan itu.

Pradeep menambah, dalam usaha menyokong usaha pihak kerajaan untuk melandaikan lengkung Covid-19, pihak GOJO juga telah melaksanakan Teknologi Pengenalan Topeng Muka pada aplikasi Pemandu GOJO.

Menurutnya, dengan aplikasi ini para pemandu dikehendaki memberi pengesahan bahawa mereka memakai topeng muka sebelum menerima sebarang tempahan.

Ujar beliau, teknologi itu merupakan sebahagian daripada langkah keselamatan dan kesihatan yang telah dilaksanakan secara ketat oleh GOJO untuk memastikan perlindungan maksimum bagi para pelanggan dan juga pemandu di jalan raya.

“Walaupun urus niaga tunai masih dominan di Malaysia, kami telah melancarkan banyak program kerjasama dengan rakan e-dompet seperti Touch’n Go dan Boost untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai ketika menempah perkhidmatan GOJO.

“Kemampuan GOJO dalam menyediakan perkidmatan pembayaran tanpa tunai iaitu pemboleh teknologi utama untuk perkhidmatan penghantaran tanpa tunai dan tanpa sentuhan yang telah dilaksanakan oleh pihak kami,” katanya.

Dilancarkan pada Ogos 2020, GOJO adalah pengendali e-hailing tempatan di Malaysia yang berjaya menempuh segala rintangan dan cabaran sepanjang tempoh pandemik dalam mencapai pertumbuhan yang mapan dan berterusan.

Sehingga kini, GOJO telah menyediakan perkhidmatan untuk lebih 117,000 pelanggan aktif dalam perkhidmatan pengangkutan dan juga penghantaran atas permintaan. – MalaysiaGazette