Syed Saddiq Abdul Rahman
KUALA LUMPUR – Ciapan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa tentang gesaan pelbagai pihak supaya dilanjutkan waktu operasi perniagaan kedai makan menarik perhatian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ini bukan kali pertama negara berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.
“Salam Sir. Ini bukan kali pertama kita berdepan COVID-MCO. Dah lebih setahun!
“Kita Ahli Politik best lah. Gaji tinggi. Parlimen pun digantung. Kerja dikurangkang. Apa nasib riders? Makcik kiah jaga warung? Abang Burger? Frontliners balik kerja after 8pm, no food!
“Please HELP,” kata pengasas parti Muda itu dalam ciapan di laman Twitter.
Terdahulu Annuar berkata, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan sedang mengkaji baik dan buruk kedai makan dibuka sehingga pukul 10 malam.
Katanya, sebarang perkembangan akan dimaklumkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau menambah, Covid-19 sedang menular dan menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan pergerakan dan memperketatkan Prosedur Operasi Standard.
Netizen yang mengulas ciapan Annuar itu rata-rata mempersoalkan mengapa pihak berkuasa terlalu perlahan dalam membuat kajian sedangkan ini bukan kali pertama PKP dilaksanakan.
Dalam tinjauan MalaysiaGazette baru-baru ini para peniaga dan orang ramai meminta kerajaan memanjangkan waktu perniagaan kedai makan bagi memudahkan mereka membeli makanan selepas habis waktu bekerja.
Gesaan itu juga turut diluahkan oleh penghantar-penghantar makanan yang mengakui pendapatan mereka terjejas selain terpaksa terkejar-kejar menyelesaikan pesanan pelanggan.
— MalaysiaGazette