Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seluruh negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 22 Januari ini sehingga 4 Februari depan berikutan trend peningkatan kes positif Covid-19, kecuali Sarawak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, enam negeri yang akan dilaksanakan PKP mulai 22 Januari ini ialah Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis.

Sebelum ini, katanya, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB), manakala Perlis dan Sarawak PKP Pemulihan (PKPP).

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) di enam negeri itu menunjukkan peningkatan kes positif.

“Justeru, penilaian risiko KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menasihatkan kerajaan agar meletakkan enam negeri ini bawah pelaksanaan PKP dari 22 Januari hingga 4 Februari ini.

“Berikutan pengumuman ini, bermakna seluruh negara kini dalam PKP, kecuali Sarawak,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP ialah sama seperti sebelum ini iaitu semua sektor perniagaan berbentuk makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Hospital dan klinik dibenarkan beroperasi 24 jam, manakala stesen minyak dari 6 pagi hingga 10 malam, kecuali di lebuh raya dibenarkan 24 jam.

Mengenai rungutan orang ramai berhubung tempoh operasi restoran dan kedai makan, beliau menyatakan, KKM dan MKN akan berbincang untuk mengkaji cadangan itu.

“Ramai merungut dan minta operasi kedai makan dilanjutkan dari 6 pagi hingga 10 malam. Ramai beri pandangan, kalau tutup 8 malam menyukarkan mereka untuk mendapatkan makanan.

“Hari ini, mesyuarat khas telah minta MKN untuk berbincang dengan KKM bagi mengkaji perkara dicadangkan ini,” katanya. – MalaysiaGazette