Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.

KUALA LUMPUR – Selepas terima pengesahan Datuk Seri Nazri Aziz disahkan positif Covid-19, beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hari ini mengucapkan agar Ahli Parlimen Padang Rengas itu segera sembuh.

Antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mengucapkan agar bekas menterinya itu disembuhkan daripada Covid-19.

“Semoga cepat sembuh dan diberikan kesihatan baik,” kata Najib dalam kenyataannya hari ini.

Nazri disahkan dijangkiti virus Covid-19 apabila keputusan ujian saringan yang dilakukannya menunjukkan positif.

Beliau berkata, keputusan itu diketahui ketika beliau berada di Kota Bharu maka terpaksa menjalani kuarantin di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu (HRPZII) sejak semalam.

Nazri menjadi ahli Parlimen terbaharu yang disahkan dijangkiti Covid-19 selepas beberapa Menteri Perikatan Nasional (PN) antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin disahkan positif Covid-19.

Malah beberapa ahli Parlimen pembangkang antaranya Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut mendoakan agar Nazri cepat sembuh.

“Moga cepat sembuh dan sihat selalu,” ucap Mahfuz di Facebook, hari ini.

Malah ucapan sama turut disampaikan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

“Saya doakan DS Nazri cepat sembuh,” ucap beliau.

Nazri dalam pada itu berkata,  beliau membuat ujian saringan itu selepas kontak rapat dengan seorang pesakit Covid-19 iaitu blogger, Zaharin Mohd Yasin.

Ia setelah mengadakan sidang media mengumumkan menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin di pejabat UMNO. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Nazri Aziz positif Covid-19, kuarantin di Kota Bharu