Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Nazri Aziz mengesahkan beliau dijangkiti virus Covid-19 apabila keputusan ujian saringan yang dilakukannya menunjukkan positif.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, kebetulan ketika keputusan itu diketahuinya, beliau berada di Kota Bharu maka terpaksa menjalani kuarantin di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu (HRPZII) sejak semalam.

Mengulas lanjut mengenai kes itu, katanya, beliau membuat ujian saringan itu selepas kontak rapat dengan seorang pesakit Covid-19 iaitu blogger, Zaharin Mohd Yasin.

“Ketika itu saya mengadakan sidang media mengumumkan menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin di pejabat UMNO Kuala Lumpur, dan Zaharin ada di sebelah saya.

“Selepas Zaharin maklumkan dia positif Covid-19, saya terus lakukan ujian saringan dan hasil ujian itu sah saya Covid-19,” katanya.

Turut berada bersamanya pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang difahamkan akan membuat ujian saringan petang ini. – MalaysiaGazette