Demontrasi pertunjukan dari Pasukan Polis Marin (PPM) sempena Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun Ke-79 Pasukan Polis Marin di Markas Operasi PPM Wilayah 1 Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 01 OKTOBER 2026.

PELABUHAN KLANG – Kerajaan memperkukuh keupayaan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam mengawal keselamatan perairan negara menerusi pembangunan fasiliti baharu bernilai RM75 juta bagi mempertingkat kesiapsiagaan di kawasan Pantai Timur Semenanjung dan Laut China Selatan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pembangunan itu merupakan langkah strategik dalam berdepan ancaman yang semakin kompleks.

Menurut beliau, ia mencerminkan pelaburan negara dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan Malaysia terus terpelihara.

“Dalam mendepani cabaran keselamatan yang kompleks, kita perlu terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan operasi semasa.

“Keupayaan PPM terus diberikan perhatian serius oleh pucuk pimpinan negara dalam setiap aspek meliputi keperluan logistik, pembiayaan dan modal insan,” katanya ketika berucap Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun ke-79 PPM di Pengkalan Polis Marin Pelabuhan Klang, di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, PPM turut mengemukakan cadangan pembangunan Forward Operation Base (FOB) di kawasan strategik di Sabah sebagai langkah memperkukuh keupayaan operasi pada masa hadapan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan PPM sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab mengawal keselamatan perairan negara daripada pelbagai bentuk ancaman termasuk kegiatan jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.

“PPM yang melangkah usia 79 tahun tetap teguh menyumbang bakti dalam mengawal perairan negara daripada pelbagai ancaman, khususnya jenayah maritim yang secara langsung boleh menjejaskan ekonomi serta mengakibatkan ketirisan hasil kutipan cukai negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here