Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Terdapat segelintir pemimpin UMNO tidak senang dengan kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tegas terhadap pendiriannya dan senada dengan akar umbi.

Situasi ini didakwa menyukarkan segelintir pihak untuk menjayakan usaha menjatuhkan parti itu.

“Sepatutnya para pemimpin UMNO sepakat tegas. Malangnya terdapat segelintir pemimpin UMNO sendiri yang tidak keruan apabila presiden tegas senada dengan kepimpinan di akar umbi.

”Dari kisah keengganan Presiden UMNO ini membubarkan UMNO hinggalah kepada isu agihan kerusi untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Pendirian Presiden tegas, senada dengan kehendak kepimpinan di akar umbi. Kerusi UMNO kekal milik UMNO.

“Sebab itu ramai berpandangan, selagi DSAZH (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mengetuai UMNO, maka usaha untuk PPBM kan UMNO adalah mustahil dan usaha untuk bubarkan UMNO juga akan menjadi sukar. Justeru, bagi memudahkan usaha ini, DSAZH perlu diganti,” kata Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Maarop, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban Dell Basir, Izwan Ismail Wan Iz dan Samad Rahman dalam satu kenyataan bersama.

Menurut mereka, dari situ bermulalah episod berkokok untuk tukar presiden kerana tahu, selagi Ahmad Zahid kekal menjadi Presiden UMNOsukar untuk tawar menawar apa apa hal yang berkait rapat dengan kepentingan UMNO.

Mengulas lanjut mereka berkata, tiada seorang pemimpin UMNO khususnya yang berjawatan presiden akan aman tanpa gangguan daripada pihak tertentu.

“Adakah dengan pengunduran DSAZH akan menyelesaikan semua masalah UMNO?. Adakah jika presiden baru yang dipilih dan dilantik kelak, akan kekal bebas tanpa gangguan?

”Jawapannya tiada mana mana pun pemimpin UMNO terutamanya presiden, yang akan aman dari gangguan, jika kekal enggan tunduk pada ‘orang itu,’ kata mereka lagi.

Lantaran itu, mereka menyifatkan individu itulah mempunyai masalah bukannya Presiden UMNO.

“Semua ada saja yang tidak kena. Siapa yang mengganggu? Jawapannya semua orang tahu. Individu sama, orang sama, kumpulan yang sama. Jika kita bijak menilai. Kita akan dapati bahawa bukan Presiden UMNO DSAZH yang bermasalah, tetapi ‘orang itu’ yang bermasalah,” tambah mereka.

Sehubungan itu, kata mereka kepimpinan UMNO sepatutnya sepakat menyokong Ahmad Zahid sebagai presiden -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ketegasan menyelamatkan diri dari dipenjara. Sanggup buat apa saja untuk diri sendiri. Tinggalkanlah UMNO pada Tok Mat… Insya Allah parti akan selamat

Comments are closed.