Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Sebuah pasukan pemantau bebas perlu ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memantau masalah yang berlaku di setiap fasiliti kesihatan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kakitangan Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat berkata, pasukan ini akan menjalankan pemeriksaan dan penilaian risiko terhadap semua fasiliti kesihatan dan membentangkan hasil dapatan kepada pengurusan tertinggi KKM termasuk Perdana Menteri untuk diselesaikan segera.

“Antara perkara yang akan dinilai oleh pasukan ini ialah melibatkan kecukupan staf di pelbagai peringkat, beban tugas pengendalian kes Covid-19 dan rawatan untuk kes lain, keadaan fasiliti, pertukaran kerja shift untuk memastikan kakitangan tidak bekerja berturut-turut dalam tempoh seminggu dan kelengkapan peralatan termasuk Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan kenderaan yang baik dan mencukupi,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu CUEPACS mengucapkan takziah kepada keluarga wira negara Dr Ali Noor Hassan dddi atas pemergian beliau.

Berita kematian arwah Ali tersebar di media sosial menerusi akaun Facebook Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM).

Beliau berkata, kebajikan kakitangan KKM pada masa getir ini perlu diutamakan.

“Jika kakitangan sendiri sakit, tidak sihat atau tertekan bagaimana untuk mereka merawat pesakit dengan sempurna.

“CUEPACS tidak mahu kakitangan yang membangkitkan permasalahan diberi ‘nasihat’ untuk tidak mengulangi tindakan tersebut,” katanya lagi.

Menurut Adnan, peranan ketua jabatan di fasiliti kesihatan tidak kurang pentingnya pada waktu ini kerana perlu menyelesaikan aduan atau isu berbangkit daripada kakitangan.

“Ketua jabatan perlulah menyelesaikan aduan ini dengan sebaik mungkin dan mengikut SOP atau garis panduan ditetapkan oleh KKM,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast