Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Puteri UMNO Malaysia menegur Kementerian Pendidikan membuat ‘flip-flop’ dalam masa singkat mengenai sesi persekolahan, sehingga menyusahkan orang ramai terutama ibu bapa dalam golongan B40 dan M40.

Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md. Jidin sepatutnya lebih ke hadapan dalam membuat sesuatu keputusan, terutama berkaitan dengan sesi persekolahan dalam ketika wabak Covid-19 semakin meningkat.

“Pada 11 Januari lalu, kerajaan mengumumkan persekolahan akan dibuka 20 Januari (hari ini), maka sibuklah ibu bapa turun ke kedai beli peralatan sekolah dan penyediaan lain untuk anak mereka, walaupun dalam keperitan hidup.

“Walaupun pada hari sama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, beliau tetap bertegas, sekolah akan dibuka seperti dijadualkan dengan mematuhi SOP.

“Maka, makin rancaklah ibu bapa membuat persediaan, walaupun di sesetengah kawasan mereka berdepan dengan banjir yang belum reda. Mereka perlu juga membeli peralatan rumah yang telah rosak akibat bencana itu,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.

Ttiba-tiba sebelum sekolah bermula, Kementerian Pendidikan mengumumkan penangguhan sesi persekolahan, kecuali pelajar yang akan mengambil peperiksaan diperlukan mengikuti kelas secara bersemuka.

Yang lain, disarankan mengikuti kelas secara atas talian.

“Apa dah jadi? Mengapa membuat flip-flop dalam masa yang singkat? Ramai ibu bapa meluahkan mereka tidak senang dengan keputusan saat akhir yang diumumkan.

“Bagi golangan B40 dan M40, keputusan ini sangat menyusahkan selepas ibu bapa sudah membeli barangan sekolah, membayar yuran, beli baju sekolah, kelengkapan dan macam-macam lagi walau ketika menghadapi PKP, ekonomi yang tidak menentu dan mengharungi bencana alam.

“Saya menyeru kepada menteri yang berkuasa, fikirlah semasak-masaknya sebelum membuat arahan yang melibatkan rakyat, terutama golongan B40 dan M40 ini,” tegasnya.

Zahida berkata, menteri tidak akan faham kesengsaraan rakyat, tapi sekurang-kurangnya faktor itu harus diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan.

“Anak-anak tidak dapat menimba pelajaran dengan sempurna ketika ini kita faham, tapi janganlah menambah lagi kesengsaraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette