Wan Anwar Wan Ibrahim

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menyambut baik pengumuman khas Pakej Kita Selangor oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari hari ini, bagi memastikan kebajikan rakyat negeri itu terus dipelihara.

Parti itu menyifatkan peruntukan sebanyak RM73.877 juta di bawah 11 inisiatif dan bantuan tersebut merangkumi seluruh rakyat jelata termasuk barisan hadapan dalam negeri itu.

Pengarah Komunikasi Amanah negeri, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, inisiatif itu menunjukkan tindakan inklusif dan sikap prihatin kerajaan negeri termasuk berbesar hati dengan menyumbang sebulan gaji kepada Tabung Bantuan Menangani Covid-19.

Katanya, kerajaan negeri juga dilihat proaktif dengan mengambil langkah menyegerakan bantuan khusus di bawah Belanjawan Selangor 2021 membantu peniaga kecil, usahawan dan penjaja yang terjejas.

“Pada masa sama, ia turut memacu agenda digitalisasi Selangor sejak pengumuman PKP 2.0 yang bermula 13 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Amirudin hari ini, mengumumkan pakej bantuan khusus dinamakan Pakej Kita Selangor untuk rakyat negeri itu sebagai langkah mendepani cabaran PKP 2.0.

Beliau berkata, beberapa inisiatif bakal dan sedang dilaksanakan di bawah pakej berkenaan, merangkumi bantuan khas rakyat sepanjang PKP, usaha merangsang ekonomi, bantuan kepada mangsa banjir dan tabung khas Covid-19.

Menurut Wan Anwar, Amanah negeri menyifatkan Pelan Permai diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Pakej Kita Selangor ibarat bagai langit dengan bumi, kerana kerajaan Selangor tidak menjenamakan semula kandungan Belanjawan Negeri 2021 untuk pakej itu.

Sebaliknya, kerajaan negeri menambah peruntukan untuk membantu rakyat tanpa mengharapkan ihsan kerajaan Persekutuan yang sudah sediakala terbeban hasil kegagalan pentadbiran kerajaan tanpa majoriti itu.

Katanya, kerajaan negeri bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menunjukkan sikap prihatin, tidak berpolitiking dan terkehadapan berbanding negeri lain apabila memperuntukkan RM1 juta kepada Pahang dan RM500,000 masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu sebagai sumbangan bantuan bencana banjir yang menimpa negeri itu.

“Amanah Selangor mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar di atas pengumuman Pakej Kita Prihatin ini sebagai salah satu solusi meringankan beban rakyat.

“Kita juga menyanjung tinggi tindakan dan komitmen kerajaan negeri bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Selangor.

“Semoga usaha murni dan keikhlasan kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Datuk Seri Amirudin diberkati dan kehidupan rakyatnya bertambah makmur serta dilimpahi barakah,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.