Gambar hiasan.

DUNGUN – Siak Masjid Hadhari di Paka dekat sini ditemui meninggal dunia di dalam sebuah longkang berhampiran pagar belakang masjid tengah hari tadi, dipercayai akibat jatuh selepas kakinya tersandung wayar.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata, Abdul Hamid Mat Zahari, 45, ditemui pada pukul 12.50 tengah hari tadi oleh bilal masjid Che Ku Mohd Fauzi Che Engku Mohd Razali ketika dia keluar dari tandas.

“Menurut saksi, setelah melihat keadaan Abdul Hamid yang tidak sedarkan diri di dalam longkang, dia menghubungi Klinik Kesihatan Paka, sebelum siak masjid itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan klinik berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal kita mendapati ada wayar kabel tiang lampu berhampiran kaki arwah dan dipercayai arwah terjatuh ke dalam longkang disebabkan wayar itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette