Gambar hiasan

KUALA LUMPUR– Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan kempen Simpan, Daftar dan Menang susulan sambutan yang menggalakkan dengan tawaran hadiah bernilai sebanyak RM400,000 pada tahun ini.

Selain itu, TH turut memperkenalkan kempen Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai sebanyak RM100,000.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, buat pertama kali TH memperkenalkan kempen tersebut untuk kumpulan sasar daripada pendeposit muda TH yang berumur 17 tahun ke bawah.

“Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu mendeposit sekurang-kurangnya sejumlah RM1,300 dan mengekalkan tambahan simpanan bersih minimum RM1,300 dalam akaun TH mereka dan mendaftar haji bagi mereka yang belum mendaftar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, syarat-syarat penyertaan masih dikekalkan seperti tahun sebelumnya dengan tambahan satu syarat lagi iaitu mendaftar sebagai pengguna THiJARI.

Kempen ini bertujuan untuk memupuk orang ramai terutamanya para pendeposit untuk menambah simpanan, mendaftar haji dan menggalakkan pendeposit mendaftar sebagai pengguna THiJARI bagi memudahkan urusan bersama TH.

“Ini juga merupakan salah satu usaha TH mendekati pendeposit muda, di samping menggalakkan mereka menabung dan merancang kewangan sejak kecil,” katanya.

Kedua-dua kempen ini bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021, dengan empat kali cabutan yang dijadualkan pada bulan April, Julai, Oktober 2021 dan cabutan akhir pada bulan Januari 2022.- MalaysiaGazette