Najib Razak

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz perlu jujur dalam menyatakan Proklamasi Darurat tidak akan menakut-nakutkan golongan pelabur.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak meminta Kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya menyatakan selain Malaysia, negara mana lagi yang menggantung sidang Parlimen masing-masing dengan tujuan untuk mengukuhkan ekonomi mereka.

“Perlu jujur, bro.

“Rugilah negara-negara lain tak gantung Parlimen jika benar bahawa langkah ini boleh kuatkan ekonomi.

“Senang sahaja, Tengku Zafrul. Namakan satu negara lain dalam dunia yang gantung Parlimen (bukan tunda sesi parlimen) selama 7 bulan?,” soal beliau di Facebook milik beliau hari ini.

Najib merujuk kepada kenyataan Tengku Zafrul yang memaklumkan Malaysia merupakan antara 80 negara di dunia, atau hampir setengah daripada seluruh dunia mengisytiharkan darurat bagi menangani pandemik Covid-19.

Najib dengan nada sinis berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara yang menggunakan alasan menggantung sidang Dewan Rakyat atas alasan mengatasi penularan Covid-19.

“Tak tepat untuk samakan Malaysia dengan 80 negara lain dalam dunia yang isytihar darurat.

“Darurat bagi negara-negara lain bermaksud kuasa diberi kepada kerajaan untuk lakukan lockdown sebab mereka tidak ada akta-akta seperti kita yang boleh lockdown tanpa darurat. Parlimen mereka tak pernah gantung,” kata Najib.

Semalam, Tengku Zafrul berkata, Proklamasi Darurat mampu membantu pemulihan ekonomi negara.

Menteri Kewangan itu menambah, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu yang bermatlamat memerangi pandemik Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Pada 12 Januari lepas, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pengisytiharan proklamasi darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung pandemik Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ajib…. Kau sendiri pernah jujur dan ikhlas ke? Buat contracts bayar dulu, kerja NANTILAH (multi products pipeline) yg negara tak perlu pun. Buat refinery lagi murah dari buat pipe lines. Ibaratnya tali lembu lagi mahal pada harga lembu sendiri.

    Ajib.. Ko dah Jahanamkan 1MDB dan Negara, lepas tu bila orang kena cuci taik kau, berdrama macam malaikat pulak.

  2. Dasar Pak Pandir politikus kemaruk sokongan undi pendatang untuk menang sorak kampung tergadai. Kemudian, ibarat ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Apa nak jadi ni ooii!!

Comments are closed.