James Maddison menjaringkan gol kemenangan di separuh masa pertama sekaligus membantu pasukan the Foxes menduduki tangga teratas dalam carta liga perdana inggeris malam tadi.

LONDON – Leicester City melonjak ke tangga teratas dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menjinakkan Chelsea 2-0 dalam aksi malam tadi.

Keputusan itu sekali gus menambahkan tekanan ke atas Pengurus the Blues, Frank Lampard.

Dalam aksi di Stadium King Power, the Foxes tahu kemenangan itu akan membantu memintas Red Devils dalam carta liga, bijak memanfaatkan peluang tersebut dengan membelasah Chelsea.

Skuad kendalian Brandan Rodgers tidak mengambil masa lama apabila Wilfred Ndidi meletakkan pasukan tuan rumah dihadapan seawal minit ke-6 menerusi rembatan kencang.

Chelsea tidak mengancam tuan rumah di atas padang walaupun pasukan pelawat itu dinafikan sepakan penalti oleh Sistem Video Penolong Pengadil selepas Christian Pulisic jatuh dalam kotak penalti selepas diterjah Jonny Evans.

Bagaimanapun, sistem VAR mengesahkan pemain itu jatuh di luar kotak penalti dan menafikan tuntutan sepakan penalti the Blues.

Dengan berbaki empat minit untuk separuh masa pertama ditangguhkan, the Foxes menambah keperitan anak buah Lampard apabila menjaringkan gol kedua menerusi James Maddison pada minit ke-41 hasil volley menarik.

Chelsea kini menduduki tangga kelapan selepas kekalahan itu.

Jentera tengah Chelsea tidak berfungsi dan hilang sengat dalam mengawal bola dan mengatur serangan balas di gawang tuan rumah.

Bek pertahanan juga goyah dalam mematahkan serangan the Foxes.- MalaysiaGazette