Nasrul Ali Hassan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia kecewa dengan penulisan tidak bertanggungjawab Syed Outside The Box cuba memanipulasi kenyataan tokoh pendidikan, Tun Dr. Arshad Ayub.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, penulis terbabit cuba mewujudkan unsur perkauman dengan membuat ulasan tidak memihak kepada tokoh berkenaan, selain mengelirukan.

“Jika dilihat kenyataan penulis berbaur perkauman dengan cuba mengatakan Profesor Melayu tidak kompeten dan kita tidak nafikan ungkapan itu benar-benar keluar daripada mulut Tun Arshad, tetapi beliau bercakap atas dasar pengalamannya yang luas dalam bidang pendidikan.

“Fokusnya adalah untuk menggembeleng kepakaran profesional dalam industri yang lebih arif dengan segala kaedah penyelesaian masalah bidang mereka dengan sistem pendidikan sedia ada.

“Ini membolehkan universiti tempatan menyediakan graduan yang bermutu dan bersedia menceburi bidang industri,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Semalam, laporan penulis itu yang disiarkan sebuah media arus perdana menuduh Arshad mendedahkan kualiti lebih 2,500 profesor di negara ini tidak mencapai standard diharapkan.

Pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) dilaporkan, mencadangkan jumlah tenaga profesional dikerah untuk mengajar secara sambilan di universiti tempatan supaya dapat menyumbang kepakaran dan pengalaman yang diperoleh daripada industri.

Dengan kerjasama antara kumpulan profesional dan professor, diharapkan ada lebih banyak artikel penyelidikan membabitkan idea di luar kotak dihasilkan, seterusnya memberi sumbangan besar kepada masyarakat.

Menurut Nasrul Ali Hasan, interpretasi jahat penulis itu, seperti sengaja membanding bezakan antara kaum seperti semua yang tidak kompeten adalah profesor Melayu sahaja, profesor Cina dan India.

Katanya, alasan penulis adalah disebabkan Naib Canselor orang Melayu, sedangkan ianya tidak ada kena mengena dan professor atau Naib Canselor untuk satu-satu universiti.

Ujar beliau, profesor juga golongan profesional dalam bidang pengajian masing-masing dan mereka merupakan kumpulan pendidik yang melangkaui perkauman.

“Kelemahan yang ditegur bertujuan untuk memperkasakan kembali sistem pendidikan negara supaya pada masa hadapan dapat melahirkan graduan lebih bermutu bagi terus merealisasikan usaha pembangunan negara yang berkesan dan berterusan.

“Jika hendak dibezakan hasil graduan, berapa banyak ketika zaman kerajaan terdahulu wujudkan IPTS yang menjurus kepada kemasukan bangsa bukan Melayu?

“Adakah mereka disaring mengikut standard meritokrasi yang ditetapkan? Atau diluluskan sahaja agar lambakan dari bangsa mereka turut dapat dikeluarkan supaya tidak ketinggalan dengan graduan Melayu dari universiti awam?,” soal beliau.

Beliau memberi contoh, ada kalangan pelajar bukan Melayu tidak layak mengikut meritokrasi pendidikan Malaysia untuk masuk ke universiti awam dalam bidang perubatan, tetapi masih diterima sekiranya mampu menanggung kos yuran di kolej atau universiti swasta.

“Adakah mereka ini benar-benar kompeten kerana dari awal lagi telah menipu sistem pendidikan?

“Sekurang-kurangnya pelajar Melayu dan pribumi melalui proses meritokrasi dengan adil sekiranya layak akan dimasukkan ke universiti, jika cemerlang akan ditawar ke luar negara, manakala kurang cemerlang masih diberi ruang melanjutkan pengajian ke bahagian kemahiran.

“Sedangkan selaku pribumi, mereka wajar mohon diutamakan untuk masuk ke semua universiti mahupun mendapatkan biasiswa,” katanya.

Untuk rekod, Arshad penerima anugerah ‘Bintang Pribumi Perkasa Negara’ dan dinobatkan sebagai ‘Bapa Modal Insan Pribumi Negara’ oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada 20 Julai 2012.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya dan Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA dan berpengalaman luas dalam pentadbiran awam di negara ini dengan memegang jawatan penting dalam pelbagai jabatan kerajaan mahupun kementerian, antaranya Timbalan Gabenor Bank Negara pada 9 Mac 1975 hingga 1977. – MalaysiaGazette