Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

GOMBAK – Seorang lelaki yang menerima panggilan dari wanita kenalannya untuk bertemu berhampiran stesen minyak berakhir dengan tragedi apabila dia diserang dengan parang oleh sekumpulan lelaki sebelum motosikal dan dompet miliknya turut dilarikan.

Kejadian berlaku pada 16 Januari lalu sekitar jam 2 pagi di kawasan gelap, berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Greenwood, Batu Caves di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis menerima panggilan awam memberitahu ada seorang lelaki tempatan kena tetak dan cedera di sebuah stesen minyak di Taman Greenwood.

Berpandukan kepada maklumat tersebut, sepasukan polis telah ke lokasi kejadian.

Mangsa memaklumkan semasa dia menghampiri kenalannya di kawasan tersebut, tiba-tiba lima lelaki tempatan meluru ke arah mangsa lalu memukul mangsa manakala salah seorang suspek yang bersenjatakan parang telah melibas mangsa.

“Mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian lutut kiri dan jari tangan akibat dilibas manakala motosikal miliknya Yamaha 135 LC, sebuah telefon bimbit dan beg dompet dilarikan oleh suspek,” ujar beliau

Pada 18 Januari lalu sekitar jam 12.20 tengah malam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Gombak telah berjaya menahan tiga lelaki dan seorang perempuan tempatan di hadapan sebuah rumah di Taman Batu Greenwood dan merampas merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC.

Tiga jam kemudian, hari yang sama iaitu sekitar 3.30 pagi, polis telah pergi ke sebuah rumah di Jalan Sungai Pusu Batu 8, Gombak dan menahan dua lelaki dan dan seorang perempuan tempatan.

Polis turut merampas dua buah motosikal jenis Modenas GT 128 dan Yamaha 135 LC serta sebuah telefon bimbit,” katanya.

Susulan tangkapan kedua itu, polis melakukan serbuan di satu lagi rumah di Taman Batu Greenwood, Batu Caves pada jam 5 pagi.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut di rumah itu polis telah merampas sebilah parang panjang yang disyaki digunakan dalam kejadian kes tersebut.
.
Arifai berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek berusia 24 hingga 43 tahun direman selama lima hari sehingga esok untuk membantu siasatan lanjut polis.

Menurut beliau, salah seorang suspek lelaki dipercayai teman lelaki kepada wanita yang menemui mangsa pada hari kejadian.

“Polis percaya kejadian itu turut ada kaitan dengan cemburu,” katanya.

Semakan polis mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah dan tiga daripadanya sangat dikehendaki bersabit kes dadah di Selayang dan Jinjang

Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine, ujarnya. – MalaysiaGazette