Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan secara virtual hari ini.

KUALA LUMPUR – ASEAN boleh mempertimbangkan penubuhan satu dana untuk menambah baik infrastruktur digital dan Internet di negara-negara anggotanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara-negara anggota juga boleh mewujudkan platform dalam talian bagi menghubungkan perniagaan kecil dan sederhana serta artisan di seluruh rantau ini.

Katanya, langkah itu boleh dilakukan dengan menjual barangan asli secara langsung kepada pengguna, sekali gus memudahkan transaksi.

“Sebuah lembaga pemegang amanah dengan anggotanya dilantik dari negara-negara ASEAN boleh menentukan syarikat yang akan mewujudkan, menyelenggara dan mengoperasikan platform tersebut.

“Sebagai satu komuniti dan sebagai sebuah rantau, ASEAN kini lebih penting berbanding sebelum ini. Bagi generasi yang tidak terkira jumlahnya, kita, warga Asia Tenggara, telah berdagang dan bekerja dengan China dan Jepun, serta Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan secara virtual hari ini.

Muhyiddin berkata, negara-negara tersebut merupakan ekonomi terbesar dunia dan juga negara paling maju dan sofistikated dalam era digital.

“Mungkin wujud perbezaan dan ketegangan di seluruh Pasifik di antara AS dengan China, namun kita gembira bekerjasama dengan mereka semua.

“Menerusi pendekatan demikian, kita berpeluang meraih manfaat dari setiap negara rakan kita ini.

“Pada masa sama, kita turut berharap mereka boleh bekerjasama dengan lebih baik lagi, kita juga harus lebih bekerjasama dengan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, berlandaskan jalinan menerusi ASEAN+3, ASEAN boleh menggalakkan kerjasama digital dan mendorong pelaburan teknologi maklumat dan komunikasi dari China, Jepun dan Korea Selatan, walaupun pencapaian digital terbaik masa kini adalah di Asia Timur Laut.

Selain itu menerusi kerjasama dengan Rakan Dialog ASEAN utama di Amerika Utara, ASEAN mampu memperluaskan amalan terbaik digital global di rantau ini.

“Kita sewajarnya memanfaatkan aspek-aspek khusus ASEAN ini secara strategik untuk menyediakan peluang sebaik mungkin kepada warga kita, terutama untuk masa depan dan generai muda ASEAN,” jelasnya. – MalaysiaGazette