Tertuduh, Datuk Tan Wai Khan (kiri) bersama rakannya (kanan) hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan terlibat dalam insiden ugut dan pukul seorang pelanggan di sebuah restoran di Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 21 JANUARI 2021.
PETALING JAYA – Dua ahli perniagaan dihadapkan di Mahkamah Majistret pagi ini atas tujuh pertuduhan membuat kekecohan dan memukul pelanggan sebuah restoran di Damansara pada 12 Januari lalu.
Tertuduh pertama, Datuk Tan Wai Khan, 43, seorang ahli perniagaan tilam menghadapi lima pertuduhan termasuk dua pertuduhan bersama manakala rakannya Ang Mow Loong, 40, pula menghadapi dua pertuduhan bersama.
Kesemua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majisret Nurshahira Abdul Halim.
Dalam pertuduhan pertama dan kedua, Wai Khan dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Magdelene Wong Chung Yi, 31, dan juga Lee Dek Quan, 26, dengan memukul mereka.
Manakala dua lagi pertuduhan berasingan, Wai Khan dan tertuduh kedua iaitu Mow Loong secara bersama-sama didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul Kwan Pei Choong yang berusia 31 tahun.
Kesemua kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Mereka juga didakwa dalam dua lagi pertuduhan berasingan secara bersama dituduh melakukan kacau ganggu yang boleh menyebabkan kegusaran kepada pelanggan dan pekerja yang berada di restoran tersebut.
Pertuduhan itu di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan. boleh dihukum denda RM400.
Mereka mengaku bersalah untuk kesemua tuduhan itu.
Bagaimanapun untuk pertuduhan kelima, Wai Khan tidak mengaku bersalah dan mohon perbicaraan bagi dakwaan melakukan khianat dengan memecahkan pinggan mangkuk milik Pei Choong yang merupakan satu kesalahan di bawah Sekyen 427 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.
Mereka didakwa melakukan kesemua kesalahan itu pada 12 Januari 2021 jam lebih kurang 9 malam di Restoran Steamboat TST, Tropicana Avenue, Damansara.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat menawarkan wang jaminan RM7,000 untuk setiap seorang bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapujn Suraj Singh selaku peguam mewakili mereka berhujah bahawa kedua-dua tertuduh berada dalam jaminan polis dan terus hadir ke mahkamah tepat pada waktu setelah menerima panggilan daripada pegawai penyiasat kes tersebut.
“Saya difahamkan kedua-dua tertuduh adalah pengarah syarikat dan tujuan wang jamin adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh pada tarikh-tarikh perbicaraan kes yang akan datang dan tidak berisiko untuk melarikan diri.
“Maka saya memohon satu jumlah wang jaminan rendah diberikan dan saya memohon tarikh sebutan untuk mendapatkan dokumen dan jatuh hukuman.” katanya.
Majistret Nurshahira telah membenarkan wang jaminan RM2,000 untuk setiap seorang bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya dan menetapkan 2 April ini sebagai tarikh penyerahan dokumen sebutan dan jatuh hukuman.
Sebelum pertuduhan bermula, Wai Khan dan rakannya menemui pemberita di luar mahkamah untuk menyatakan kekesalan mereka terhadap perbuatan itu.
Mereka turut memohon maaf kepada keluarga mangsa dan individu-individu yang terkesan dengan insiden itu selain mengaku insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan tersebut. – MalaysiaGazette