Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai beberapa perancangan alternatif yang boleh digunakan sekiranya peperiksaan awam di negara ini terganggu akibat penularan Covid-19.

Bagaimanapun jelas Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, pelan yang yang telah dirangka melibatkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Pentaksiran Tingkatan Tiga, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia serta beberapa peperiksaan lain yang setara  belum boleh diumumkan.

“Kita perlu tunggu sebab ia masih dalam pertimbangan. Kita ada banyak pelan sebenarnya (bagi peperiksaan awam) tetapi mana satu yang sesuai, kita belum boleh umumkan,” katanya pada sidang media menerusi atas talian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab sama ada KPM mempertimbangkan peperiksaan awam utama bagi tahun ini dibatalkan dalam keadaan tidak menentu akibat penularan Covid-19.

Kata Habibah, sehingga kini KPM belum membuat keputusan memandangkan langkah mengadakan peperiksaan awam utama kali ini hanya terpakai bagi tahun lepas sahaja.

“Saya tak boleh menyatakannya lagi (keputusan bagi peperiksaan utama 2021) kerana yang kita buat keputusan sebelum ini adalah bagi 2020 sahaja. Kementerian belum buat keputusan untuk 2021,” tambahnya.

Dalam pada itu ditanya tentang cadangan sebuah badan bukan kerajaan agar kerajaan melaksanakan sistem penggal bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5, Habibah berkata, alternatif itu antara yang diboleh dipertimbangkan.

“Bagaimanapun peperiksaan utama negara kita tidak boleh diubah kerana seiring dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Taksiran Cambridge yang akan melayakkan pelajar memasuki alam kerjaya atau ke peringkat pembelajaran yang seterusnya.

“Kementerian ada memikirkan bagaimana kita boleh mengambil kira kaedah lain tetapi buat masa ini ia mungkin satu kaedah jangka masa panjang yang kita mungkin boleh pertimbangkan.

“Ia akan mengambil satu perancangan teliti dan menyeluruh kerana kementerian perlu merangka bagaimana ia boleh berlaku kemudian kita perlu bekerjasama dengan agensi luar supaya apa juga bentuk yang kita cadang masih boleh diiktiraf.

“Bagaimanapun dalam membuat pertimbangan itu tidak semestinya dalam bentuk penggal kita masih pertimbangkan alternatif-alternatif lain menerusi pendekatan berbeza untuk pelajar melalui pentaksiran atau peperiksaan.

“Belum boleh kita cakapkan ia masih lagi pada tahap ground work,” jelasnya.-MalaysiaGazette