JEDDAH – Dua letupan bom oleh pengebom berani mati memusnahkan sebuah pasar di ibu negara Iraq menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera kata para pegawai.

Ia merupakan lutupan terbesar pertama dalam tempoh beberapa tahun yang mengingatkan hari-hari hitam serangan militan.

Bom tersebut meletup di kawasan komersil Bab Al-Sharqi di tengah Baghdad ketika ketegangan politik memuncak terhadap rancangan untuk mengadakan pilihan raya awal dan krisis ekonomi.

Kementerian Kesihatan mengumumkan semua hospital di ibu negara dimintai merawat mangsa yang tercedera.

Mengutuk serangan itu, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menzahirkan solidariti dengan Iraq bagi memerangi keganasan dan meningkatkan keselamatan dan kestabilan.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut tetapi para pegawai tentera Iraq berkata, ia merupakan angkara pengganas Daesh.

Menteri Kesihatan Iraq, Hassan Mohammed Al-Tamimi berkata, sekurang-kurangnya 32 orang maut dan 110 mangsa tercedera dalam serangan berkenaan.

Beliau berkata, beberapa mangsa mengalami kecederaaan serius.

Jurucakap Perintah Operasi bersama, Mejar Jeneral Tahsin Al-Khafaji berkata, pengebom berani mati pertama berteriak menyatakan dia tidak sihat di tengah pasar itu menyebabkan orang ramai mengelilinginya dan ketika itu dia meletupkan bom yang dipasang di tali pinggang.

Pengebom kedua meletupkan bom yang berada di tali pinggan sejurus selepas itu dan berkata: “Ini adalah tindakan keganasan oleh sel Daesh”, kata Al-Khafaji seperti dipetik agensi berita AP.

Menurut Al-Khafaji, pengebom itu berkata Daesh ‘mahu membuktikan ia wujud’ selepas mengalami kekalahan dalam operasi ketenteraan yang mahu menghapuskan kumpulan militan itu.

Cara serangan itu dilihat sama dengan serangan yang dilakukan Daesh sebelum ini.

Bagaimanapun, kumpulan militan tersebut jarang dapat menembusi ibu negara sejak diusir tentera Iraq dan gabungan tentera yang diketuai Amerika Syarikat (AS) pada 2017.

Kedua-dua letupan oleh pengebom berani mati itu berlaku selepas kerajaan Iraq sebulat suara bersetuju untuk mengadakan pilihan raya awal pada Oktober depan.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Mustafa Al-Kadhimi mengumumkan pilihan raya awal diadakan bagi memenuhi permintaan penunjuk perasaan anti kerajaan.

Iraq turut bergelut dengan krisis ekonomi yang teruk berikutan kejatuhan harga minyakyang menyebabkan kerajaan negara itu melakukan pinjaman dalam negara dan menghadapi risiko kehabisan rizab mata wang asing. – MalaysiaGazette