KUALA LUMPUR – Kebocoran paip pada sistem rawatan effluen di tapak pelupusan sampah mengakibatkan pencemaran di Sungai Suam, Bukit Merah, Keningau ,Sabah.

Perkara itu disahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membuat siasatan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Majlis Daerah Keningau dan kontraktor berdasarkan aduan yang diterima.

Menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air, kerja-kerja membaiki kebocoran kini sedang dijalankan dan kontraktor telah membuat kolam takungan sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Hasil siasatan di ke tapak pelupusan sampah keningau, terdapat kebocoran paip dalam sump inlet sistem rawatan effluen di tapak pelupusan sampah tersebut.

“Pihak JAS juga telah mengeluarkan Notis Arahan penambahbaikan yang perlu dipatuhi dan diambil tindakan oleh kontraktor,” kata kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial yang memaparkan penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Suam memohon pihak berkuasa memantau pusat pelepasan sampai yang terletak di Batu 12, Jalan Sook kerana mendakwa kemudahan itu menjadi punca pencemaran sungai tersebut.

Menerusi gambar yang dikongsikan itu keadaan air di sungai berkenaan bertukar kepada hitam. – MalaysiaGazette