Kesemua cuti anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia dibekukan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi, kereta sewa dan e-hailing mahupun menghalang mereka untuk beroperasi merentas sempadan daerah atau negeri sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Namun, semua perkhidmatan berkenaan hendaklah beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) tanpa sebarang kompromi, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP ini, teksi, kereta sewa dan kenderaan e-hailing dibenarkan beroperasi sepenuhnya berdasarkan kepada keperluan perkhidmatan.

”Mereka juga dibenarkan merentas daerah dan sempadan negeri sebagaimana kebenaran di bawah kenderaan perdagangan dengan mengambil kira keperluan untuk menghantar penumpang yang mempunyai kelulusan dan keperluan di bawah skop yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.

Ka Siong menjawab aduan daripada pemandu-pemandu teksi mengenai kekeliruan berkaitan skop pengoperasian dan perkhidmatan kenderaan teksi, kereta sewa serta e-hailing yang telah merentas daerah atau sempadan negeri sepanjang PKP.

Aduan yang dikemukakan menyatakan bahawa pemandu yang terlibat telah ditahan dan disoal oleh pihak berkuasa di Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar penumpang untuk merentas sesuatu sempadan daerah atau negeri.

Mengulas lanjut mengenainya, beliau menambah, pelaksanaan PKP adalah untuk mengawal pergerakan orang ramai termasuk individu yang menjadi penumpang, oleh itu, semua pemandu perkhidmatan kenderaan teksi, kereta sewa dan e-hailing hendaklah memastikan penumpang mereka mempunyai kelulusan dan keperluan di bawah skop yang dibenarkan sebelum ke lokasi yang memerlukan rentas sempadan daerah atau negeri.

Menurutnya, pemandu perkhidmatan kenderaan teksi, kereta sewa dan e-hailing juga hendaklah mendapatkan salinan
dokumen-dokumen kelulusan, sama ada menerusi salinan ‘hardcopy’ mahupun ‘softcopy’ sebagai bukti, bagi kegunaan para
pemandu selepas menghantar penumpang mereka ke satu-satu lokasi merentasi sempadan daerah atau negeri.

Perkara ini juga bertujuan mengelakkan kebenaran beroperasi kepada perkhidmatan pengangkutan awam diambil kesempatan
oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan ingkar arahan PKP untuk merentasi sempadan bagi tujuan yang tidak dibenarkan. – MalaysiaGazette